Skip to main
Logo Malaysiakini

Bahan terlarang jalan pintas untuk cantik

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Dalam era media sosial menjadi platform bagi seseorang menyerlahkan penampilan diri, ramai wanita mengambil langkah drastik untuk kelihatan cantik.

Salah satu daripadanya adalah menggunakan produk kecantikan yang tidak diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Terdapat lambakan produk kecantikan di pasaran sama ada keluaran tempatan mahupun diimport yang tidak mendapat kelulusan.

Produk-produk tersebut dikatakan memberi kesan sejurus selepas orang ramai menggunakannya. 

Antara kesan tersebut kulit menjadi lebih cerah dan bersih tanpa sebarang cela.

Namun apa yang tidak diketahui pengguna kebanyakan produk kecantikan tersebut mengguna bahan terlarang untuk mempercepatkan kesan tetapi mampu memudaratkan pengguna dalam tempoh jangka masa panjang.

Antara bahan yang sering digunakan adalah merkuri dan steroid yang dimasukkan dalam sesuatu produk kecantikan tanpa mengikuti dos yang dibenarkan.

Namun, demi cantik, sesetengah wanita sanggup mengambil risiko.

Malaysiakini menemu bual beberapa pengguna produk-produk tersebut yang mengalami kesan buruk akibat menggunakan produk tidak berdaftar.

 

Menurut Alia Azmi, dia mula menggunakan produk tempatan pada usia 16 tahun kerana ingin kelihatan cerah kerana kerap berjemur di bawah terik matahari.

Gadis berusia 21 tahun itu menggunakan produk keluaran tempatan selama enam bulan, dan mengakui kulit mukanya kelihatan lebih cerah berbanding kebiasaan.

“Saya pakai pencuci muka, krim siang dan malam. Masa tu saya sunburn dan terdesak untuk putih. Bila saya pakai produk tu, kesan dia memang boleh Nampak dalam masa tiga hari. Kulit muka saya jadi putih selepas tiga hari meggunakan set produk tersebut,” ujarnya kepada Malaysiakini.

Meskipun teruja dengan kesan yang ditunjukkan, Alia merasa sedikit ragu-ragu dengan krim malam yang digunakan kerana ia membuatkan mukanya kelihatan 'berkilat'.

Pun begitu, Alia terus menggunakan produk tersebut selama enam bulan sebelum mengambil keputusan untuk berhenti.

Muka ditumbuhi jerawat

Mimpi ngerinya bermula selepas dia berhenti mengamalkan produk tersebut dan dalam masa dua minggu, mukanya dinaiki jerawat dengan banyak.

“Muka saya jadi sangat teruk selepas berhenti mengambil produk-produk tersebut. Saya tergerak untuk membuat carian tentang produk tersebut dan mengetahui bahawa ia mengandungi merkuri dan hydroquinone,” ujarnya lagi.

Hydroquinone merupakan sejenis bahan yang digunakan untuk mencerahkan tompok hitam yang terdapat pada kulit muka.

Meskipun begitu, sebelum seseorang menggunakan krim tersebut, mereka perlulah mendapatkan nasihat doktor kerana khuatir ia memberi kesan sampingan.

Menurut Alia, selain dua bahan tersebut, dia tidak menyangka terdapat banyak lagi bahan yang terlarang digunakan.

Dia mengambil masa lebih enam bulan untuk merawat kulitnya.

Disangkakan panas sehingga petang, namun hujan di tengah hari.

Begitulah nasib Alia apabila dia sekali lagi menerima kesan sampingan akibat menggunakan produk tidak berdaftar.

Produk itu menurutnya, adalah atas saranan ibunya sendiri untuk menghilangkan parut yang disebabkan oleh produk sebelum ini.

Dia menggunakan produk tersebut selama dua tahun sebelum mengambil keputusan untuk berhenti dan beralih kepada produk yang dijual di farmasi.

Sejurus selepas berhenti menggunakannya, mukanya sekali lagi ditumbuhi jerawat seperti sebelum ini. 

Dek kerana tidak tahan dengan kesan dialami, Alia merujuk kepada ahli farmasi untuk mendapakan rawatan yang sesuai.

“Selepas sahaja saya berhenti menggunakan produk tersebut, muka saya terus naik jerawat dengan banyak. Kebetulan masa tu tengah peperiksaan akhir.”

“Saya kemudiannya mendapatkan rawatan dengan merujuk kepada ahli farmasi. Saya diberikan dua jenis ubat iaitu Benzac dan Doxycylin. Kali ini proses pemulihan saya mengambil masa lebih kurang empat bulan,”ujarnya lagi.

Alia merupakan antara ratusan wanita yang terjebak dengan strategi pengiklanan produk-produk tersebut yang menjanjikan kecantikan dengan segera.

Gara-gara mahu kelihatan cerah

Bagi Tini, 23 tahun dia tidak menafikan bahawa kulit mukanya menjadi cerah dan tidak bercela apabila menggunakan produk kecantikan tempatan.

“Mula-mula pakai tu, memang muka saya nampak perubahan dalam masa satu hingga dua minggu. Muka saya jadi cantik dan tidak bercela,”

“Namun saya berhenti menggunakannya selepas sebulan,” ujarnya kepada Malaysiakini.

Setelah itu, kesan yang dialami  menyebabkan muka menjadi merah seperti terbakar dan jerawat yang naik dengan kuantiti yang banyak.

“Muka saya rasa seperti terbakar. Memang pedih sangat. Jerawat pun banyak naik lepas saya berhenti menggunakan produk tu,” katanya lagi.

Tini yang ketika itu merupakan seorang pelajar, tidak mendapatkan rawatan pakar kerana kesempitan wang.

Hanya melalui kajian serta carian atas talian, dia membeli pembersih muka Cetaphil yang boleh didapati di farmasi dan mengambil masa lebih kurang lapan bulan untuk memulihkan semua keadaan kulit mukanya seperti sedia kala.

Beralih kepada produk farmasi

Seorang lagi pengguna produk kecantikan tempatan turut berkongsi pengalamannya dengan Malaysiakini.

Lyn, 23 tahun menggunakan produk tempatan tersebut kerana atas nasihat rakan-rakan bagi menghilangkan kesan terbakar di mukanya lantaran berjemur di bawah matahari.

Menurutnya, rakan-rakannya menyarankan agar dia mencuba produk tersebut terlebih dahulu sebelum beralih kepada produk yang terdapat di farmasi.

“Masa saya guna tu, saya nak hilangkan kesan “sunburn” yang teruk. Orang kata pakai produk ini dulu sebelum bertukar kepada produk yang dijual di farmasi. Saya pun bersetuju dengan cadangan mereka,” ujarnya.

Dia mula menggunakan produk itu dan mendapat kesan yang diinginkan apabila kulit mukanya menjadi bersih. Perkembangan itu menyebabkan Lyn terus mengunakan produk tersebut selama tiga bulan.

Ketika sedang menggunakan produk itu, hangat di media sosial mengatakan produk yang digunakannya tidak selamat.

Lyn kemudiannya panik dan terus berhenti menggunakannya. 

Setelah berhenti, kulit mukanya menjadi kusam dan ditumbuhi jerawat yang bernanah.

“Masa tu viral tentang produk kecantikan tempatan yang dikatakan tidak selamat. Produk yang saya guna termasuk dalam senarai tersebut. Saya panik kemudian terus berhenti guna,”

“Lepas berhenti tu, muka saya jadi kusam dan dinaiki jerawat yang bernanah,” katanya kepada Malaysiakini.

Pelbagai produk telah dicuba dan jumlah wang yang dilaburkan juga tidak berbaloi demi memulihkan semula kulit mukanya.

Lyn juga mengambil masa selama enam hingga tujuh bulan sebelum kulit mukanya kembali pulih.

Pengguna boleh menyemak kandungan bahan yang digunakan sama ada mendapat kelulusan KKM atau tidak dengan melayari laman web Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Semakan juga boleh dilakukan dengan memastikan nombor MAL dan hologram meditag terdapat pada kotak produk.