Kesedaran rakyat Malaysia isu haiwan terancam rendah
Kesedaran rakyat Malaysia berhubung isu hidupan liar yang terancam masih rendah kerana mereka tidak berfikiran seperti negara-negara maju, kata persatuan haiwan.
Menurut Presiden Persatuan Haiwan Malaysia Arie Dwi Andika, rasa simpati yang dizahirkan belum cukup sekiranya pemimpin atasan tidak benar-benar serius mengambil berat tentang pemuliharaan hidupan liar di negara ini.
“Tidak cukup sekadar rakyat bawahan yang melahirkan rasa simpati tanpa melibatkan kepimpinan di atas kerana kita dapati jika pemimpin kita benar-benar serius, simpati dengan kehidupan haiwan terancam ini, mereka pasti prihatin dan mengmabil berat tahap pembalakan, tahap pemburuan haram yang kita anggap semakin berleluasa,” katanya kepada Malaysiakini.
Menyentuh mengenai kematian badak sumbu Sumatera jantan terakhir di Malaysia bernama Kertam pada 27 Mei lalu, Arie mencadangkan supaya terdapat satu usaha drastik dan pragmatik yang diambil oleh pihak berkuasa dan kerajaan.
Arie menambah bahawa kempen ‘Selamatkan Harimau Malaya’ di bawah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) amat perlahan dan terlambat.
“Sebaliknya, yang kita harapkan adalah rehabilitasi, perkasakan rehabilitasi, pemuliharaan, wujudkan banyak pusat pemuliharaan,” katanya.
Tambah peruntukan dana agensi penguatkuasa
Pengerusi Yayasan Pemuliharaan Hidupan Liar Malaysia (MWCF) Dr Dionysius Sharma pula berkata, peruntukan dana kepada agensi penguatkuasa seharusnya ditingkatkan bagi mengawal pemburuan haram terhadap spesis terancam di negara ini.
Dionysius berkata, pelan dan polisi pemuliharaan hidupan liar sukar untuk dicapai jika dana tersebut tidak ditambah.
Beliau yang juga merupakan bekas ketua pegawai eksekutif World Wide Fund For Nature (WWF) berkata, pemburuan haram masih berleluasa di Malaysia.
“Kita perlu bertanggungjawab atas realiti ini. Jika kita tidak mahu melihat harimau Malaya pupus dalam habitatnya, kita perlu bertindak sekarang.
“Tingkatkan peruntukan dana kepada agensi penguatkuasaan yang berkaitan, penyertaan bagi pasukan angkatan bersenjata yang terlatih, terutamanya Angkatan Tentera Malaysia, dengan tujuan menamatkan pencerobohan dan pemburuan. Hanya dengan langkah itu sahaja dapat menyelamatkan harimau kita.
“Pihak berkuasa hidupan liar dan NGO alam sekitar bersama agensi penguatkuasaan berkaitan telah cuba mematahkan usaha aktiviti haram ini, tetapi berdepan pelbagai cabaran,” katanya kepada Malaysiakini.
Pada 18 Mac lalu, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar berkata spesies Harimau Malaya kemungkinan akan pupus dalam tempoh lima ke 10 tahun lagi sekiranya tiada tindakan drastik dilakukan bagi melindungi haiwan itu.
Xavier berkata, populasi haiwan berkenaan kini berada pada tahap membimbangkan dengan kurang daripada 200 ekor melalui Survei Harimau Kebangsaan Pertama yang dijalankan pada 2016 hingga 2018.
Namun, Dionysius yang juga pengarah eksekutif Green Growth Asia Foundation mempunyai pendapat berbeza dengan Arie, yang percaya bahawa terdapat peningkatan kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia mengenai isu berkaitan alam sekitar dan hidupan liar.
Ini memandangkan mereka berpeluang untuk mengakses pelbagai maklumat terutamanya melalui media sosial.
Presiden Pencinta Alam Malaysia Prof Dr Ahmad Ismail turut senada dengan Dionysius mengenai tahap kesedaran dan pengetahuan rakyat Malaysia tentang hidupan liar di negara ini, meskipun merasakan amalan tersebut masih belum berlaku sepenuhnya.
Namun katanya, komitmen dapat dilihat melaui Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli serta Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.
“Penghayatan tentang ilmu masih kurang daripada peringkat tinggi hingga rakyat jelata. Sebab itu kita masih lihat banyak konflik berlaku antara pemuliharaan dan pembangunan.
“Apa yang kita perlu sekarang ialah penguatkuasaan dan kesedaran awam menyokong hasrat kerajaan. Kita perlu dana untuk pemantauan pemburu haram sama ada daripada kerajaan atau sumbangan awam.
"Satu tabung perlu untuk dana pemuliharaan hidupan liar, contohnya seperti tabung selamatkan harimau,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai