Skip to main
Logo Malaysiakini

Ketua pesuruhjaya baru SPRM digesa buka balik kes Teoh Beng Hock

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pemuda DAP menggesa ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) yang baru Latheefa Koya membuka semula siasatan kematian Teoh Beng Hock.

“Dengan harapan yang ikhlas agar Latheefa melaksanakan langkah drastik membuat pembaharuan dalam SPRM, menghapuskan budaya rasuah yang meresap ke tahap baru termasuk melancarkan siasatan displinar yang baru terhadap kes kematian Teoh Beng Hock dan mengambil tindakan tegas terhadap pegawai-pegawai yang terlibat,” kata Timbalan Ketua Pemuda DAP Chiong Yoke Kong dalam kenyataan media hari ini.

Teoh merupakan bekas pembantu politik kepada pemimpin DAP Ean Wong Ean Wah yang ditemukan mati di ibu pejabat SPRM pada tahun 2009. Beliau dipanggil ke pejabat tersebut sebagai saksi untuk siasatan kes.

Chiong berkata Pemuda DAP tidak akan melupakan tragedi kematian Teoh dan penderitaan keluarga mendiang.

“Tidak boleh diterima apabila melihat pegawai-pegawai yang terlibat dalam kes Teoh masih bebas dan beberepa daripadanya lebih berjaya daripada sebelumnya dengan kenaikan pangkat dan harta.

“Latheefa yang pernah bersama kerajaan Selangor perlu memahami penganiayaan politik oleh rejim terdahulu dan SPRM terhadap Pakatan Harapan, dengan Teoh menjadi mangsa yang tidak bersalah dikorbankan.

"Untuk itu, siasatan oleh SPRM terhadap pegawai-pegawai relevan dalam kes ini tidak perlu dilambatkan,” kata beliau.

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ke atas kematian Teoh memberi keputusan 'open verdict' dan mengesahkan bahawa pegawai SPRM menggunakan teknik siasatan agresif ke atas Teoh.

Mahkamah Rayuan bagaimanapun memutuskan bahawa kematian Teoh adalah disebabkan oleh SPRM dan individu yang “tidak diketahui”.

Hasil siasatan RCI mengaitkan tiga pegawai SPRM dalam kematian Teoh, namun merekan tidak dikenakan apa-apa tindakan atas kesalahan jenayah.