Skip to main
Logo Malaysiakini

JPJ nafi hanya 4 kamera AWAS berfungsi

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) menyangkal laporan yang mendakwa hanya empat kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) berfungsi.

JPJ dalam satu kenyataan semalam menyatakan kesemua 41 buah kamera AWAS masih dalam keadaan baik dan sedang beroperasi.

"Pengoperasian beberapa kamera AWAS ditangguhkan sementara waktu kerana telah terlibat dengan kemalangan dan melibatkan kerja-kerja pendawaian serta pemasangan semula," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan setakat Mei 2019, sebanyak 169,051 saman telah dikeluarkan sejak sistem AWAS diambil alih oleh pihak JPJ.

Selain itu, JPJ menyangkal dakwaan yang mengatakan JPJ tiada kepakaran untuk menjalankan pengoperasian kamera AWAS.

Laporan The Malaysian Insight sebelum ini mendakwa hanya empat kamera AWAS yang masih beroperasi daripada keseluruhan 45 unit yang ada di seluruh negara selepas JPJ mengambil alih operasinya sejak September tahun lepas.

- Bernama