Skip to main
Logo Malaysiakini

Dr Asri: 'Bangsawan, pemimpin sombong macam iblis akan dilaknat'

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin memberikan nasihat supaya bermuhasabah diri mengenai sikap sombong yang menyebabkan iblis menerima kutukan tuhan.

Menurut Dr Asri sekiranya sifat sombong wujud dalam diri seseorang itu tanpa mengira orang biasa, bangsawan atau pemimpin, maka mereka juga bakal menerima nasib yang sama seperti iblis.

"Iblis itu sombong kerana merasakan taraf dirinya jauh lebih tinggi dibandingkan pihak lain. Itu sifat iblis yang berbangga dengan keturunan dan memandang rendah kepada keturunan orang lain.

"Sifat Iblis itu jika ada dalam diri mana-mana individu biasa, bangsawan atau pemimpin maka dia akan menerima nasib seperti Iblis iaitu dilaknat sepanjang masa," kata beliau pada hantaran di Facebook malam ini.

Menjelaskan lanjut, Asri berkata orang Melayu terkenal dengan sifat merendah diri dan kesombongan merupakan "pakaian iblis serta firaun."

"Orang Melayu itu terkenal dengan merendah diri, apatah lagi seorang muslim. Kesombongan boleh membawa kepada kekufuran. 

"Justeru, firaun dan segala kesombongannya berakhir dengan kelemasan di lautan. 

"Demikianlah firaun-firaun kecil akan berakhir dengan tragis," jelas beliau lagi.

Bagaimanapun, hantaran mufti Perlis tersebut dibuat secara umum tanpa merujuk kepada individu atau kenyataan pihak tertentu.