Skip to main
Logo Malaysiakini

Muhyiddin yakin PM akan bincang lantikan masa depan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin percaya bahawa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad akan membincangkan sebarang pelantikan masa depan dengan pemimpin Pakatan Harapan sebelum mengumumkannya.

Sambil mempertahankan pelantikan peguam Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM yang baru adalah selaras dengan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan, namun Muhyiddin bersetuju bahawa perbincangan awal sepatutnya diadakan.

“Tapi soal ini bukan nak mempertikaikan prerogatif, prerogatif sini adalah (Yang di-Pertuan) Agong, kita tak nak mempertikaikan lantikkan Agong atas nasihat PM.

“Cuma yang berbangkit sekarang (adalah) soal politik, orang mempersoalkan soal politik, politik pula ikut tafsiran masing-masing. Jadi bagi saya tak apa, ini satu pengalaman baik.

“Untuk ke hadapan, kalau ada lain lantikkan, mungkin saya yakin PM akan bincang dengan pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) supaya mereka jugak faham dan tahu.

“(Tetapi) sebagai langkah terakhir itu keputusan PM untuk menasihatkan Agong,” katanya semasa sidang akhbar sempena Rumah Terbuka Hari Raya di Pagoh, Johor hari ini.

Sidang akhbar itu disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook rasmi Menteri Dalam Negeri.

Mahathir sebelum ini mengakui bahawa beliau melantik Latheefa tanpa membincangkan perkara itu dengan kabinet kerana tidak mahu keputusan itu mengikatkan dirinya.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata lantikan pada masa depan sepatutnya sejajar dengan manifesto pilihan raya PH.

Manifesto PH secara khusus menjanjikan penamatan campur tangan politik dan menyerahkan pelantikan jawatan utama perlu melalui jawatankuasa pilihan khas parlimen.

“Banyak yang telah pun kita senaraikan dalam manifesto itu menjadi sesuatu janji, ia harus kita ditunaikan.

“Mungkin kerana baru lagi, kadang-kadang kita belum lagi meneliti perkara itu

“Tapi untuk ke hadapan, supaya selari dengan apa kita kemukakan dalam manifesto, ada baik jugalah perbincangan diadakan di peringkat tertinggi,” kata Muhyiddin.

Terdahulu hari ini, Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata Dr Mahathir perlu memperjelaskan pelantikan Latheefa yang dibuat dengan melanggar manifesto PH itu.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru tidak wajar dipersoalkan mana-mana pihak kerana ia mengikut prosedur yang betul.

Prosedur itu kata Muhyiddin termasuklah dari segi perlembagaan dan kuasa eksekutif.

“Benda itu (prosedur) semuanya betul. Cuma yang berbangkit sekarang ini ialah soal politik. Orang persoalkannya dan politik pula mengikut tafsiran masing-masing,” kata beliau kepada media sebagai mengulas isu itu pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Parlimen Pagoh di Dewan Orang Ramai Felda Sri Ledang di Pagoh di Muar, hari ini.

Biarpun pelantikan itu dilihat sebagai satu langkah yang baik, Muhyiddin bagaimanapun berharap akan ada perbincangan terlebih dahulu diadakan bersama pemimpin Pakatan Harapan pada masa hadapan bagi memastikan golongan ini memahami sebab pelantikan.

“Ini supaya ia selari dengan apa yang telah kita kemukakan dalam manifesto,” katanya.

Pelantikan Latheefa yang diumum pada tiga hari lepas selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong akan berkuat kuasa mulai 1 Jun selama dua tahun.

Beliau menggantikan Mohd Shukri Abdull yang memohon untuk memendekkan tempoh kontrak perkhidmatan beliau sebagai Ketua Pesuruhaya Suruhanjaya terbabit.

Berhubung isu Op Selamat sempena Aidilfitri pula, Muhyiddin berkata, beliau diberitahu bahawa setakat ini, kira-kira 13,000 kes kemalangan dilaporkan sepanjang operasi.

Ini sekaligus menampakkan bahawa operasi dan kempen keselamatan jalan raya yang dijalankan seakan tidak mendatangkan kesan yang mendalam bagi mengurangkan kadar kemalangan.

“Kemalangan masih berlaku mungkin kerana nak cepat balik, sampai ke destinasi dan kampung tetapi apapun, ini suatu perkara yang perlu diberi perhatian serius oleh pengguna jalan raya demi mengelakkan hal-hal ini berlaku,” katanya.