Skip to main
Logo Malaysiakini

'Hidayah sentiasa ada, tapi perlu dicari'

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

WAWANCARA | Kisah Nurul Syahada Sacorum, 41 dan pertemuannya dengan Islam sangat tepat digambarkan dalam perumpamaan 'tak kenal maka tak cinta'.

Bagaimanapun, Nurul Syahada atau nama asalnya Lorelyn Sacorum mengakui pada mulanya pernah berasa ragu-ragu dengan kebenaran ajaran Islam.

Malah, dengan gambaran pengganas Abu Sayyaf yang dikaitkan dengan Islam di negara kelahirannya, dia tidak pernah terfikir suatu hari dia akan memeluk agama Islam.

Wanita asal Filipina itu mengakui bahawa pertemuannya dengan suaminya merupakan antara sebab dia mula mendekati Islam.

“Hidayah sentiasa ada, kita kena cari. Kadang-kadang kita yang tolak kerana kita tidak faham Islam.

“Kita sendiri kena cari hidayah tu. Bukannya tak ada. Nak tunggu hidayah datang tu tak boleh kerana dia sentiasa ada,” kongsinya kepada Malaysiakini baru-baru ini.

Nurul Syahada ketika ditemui sedang mengikuti Kelas Fardu Ain Anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Masjid Bukit Indah Ampang.

Nurul Syahada memeluk Islam pada 2012 dalam usia 32 tahun.

Dugaan masuk Islam

Pada peringkat awal menjadi saudara baru, Nurul Syahada berhadapan dengan masalah mencari tempat untuk mendalami ajaran Islam.

Menurutnya, suaminya agak sibuk bekerja dan dalam masa yang sama dia tidak tahu menggunakan pengangkutan awam, yang seterusnya menyebabkan dia lambat mempelajari Islam.

Menurutnya, perjalanan rohaninya boleh dikatakan menjadi mudah apabila keluarga terutama ayahanya menerima keputusan itu dengan hati terbuka.

Bagimanapun, katanya, ada di antara saudaranya tidak memahami tindakannya.

“Ada antara saudara-saudara saya yang mempersoalkan keputusan saya. Kenapa saya masuk Islam kerana yang Islam di Filipina menjadi Abu Sayyaf (kumpulan pengganas).

“Saya beritahu mereka bahawa agama Islam ini sangat indah jika diikuti dan dihayati dengan betul. Tak semua orang Islam macam tu. Kenalan Islam saya di Malaysia semua baik.

“Jangan hanya apa yang dilakukan oleh Abu Sayyaf, semua umat islam dianggap menyokong perbuatan itu,” ujarnya penuh bersemangat.

Nurul Syahada menjelaskan bahawa dia cuba sedaya upaya untuk membuatkan saudara-saudaranya di Filipina untuk lebih memahami Islam.

Anak sulung ikut jejak

Nurul Syahada kini menarik nafas lega apabila anak sulung dari perkahwinan pertamanya turut memeluk Islam pada 2016 ketika berusia 17 tahun.

Wanita itu kini mempunyai empat cahaya mata - dua daripada hasil perkahwinan terdahulu dan dua dari perkawinan barunya.

“Anak sulung saya yang berada di Filipina tu dah masuk Islam. Saya bawa dia datang Malaysia pada tahun 2016 selama lima bulan dan dia masuk Islam di masjid (Masjid Bukit Indah) ini, anak kedua belum masuk Islam namun ada bertanya mengenai Islam,” katanya.

Menurut Nurul Syahada, walaupun hanya menetap di Malaysia selama lima bulan, anaknya boleh menghafal doa-doa solat serta sering menunaikan solat fardu di masjid.

Namun selepas kepulangan anaknya ke Filipina, dia sedikit gusar.

“Saya tak tahu macam mana makan minum dia. Tapi setiap kali saya mesej dia, saya akan ingatkan dia.

“Saya akan cakap Assalamualaikum, Alhamdulillah, Insha-Allah dan sebagainya untuk peringatan supaya dia tak lupa tentang Islam,” katanya mengekang air mata.

Nurul Syahada ketika ditemui mengenakan jubah biru dan bertudung coklat. Dia juga fasih berbahasa Melayu dan sering tersenyum ketika menceritakan kisah hidupnya.

Sebelum mengakhiri perbualan, Nurul Syahada berharap agar suatu hari ahli keluarganya dapat melihat keindahan Islam.

Baginya, Islam merupakan agama yang cantik dan jika ia diamalkan dengan betul, segala tanggapan serong terhadap Islam mungkin tidak akan wujud.


BACA BERKAITAN: 

Bahagian 5 - 'Islam selamatkan saya dari kaki lima'

Bahagian 4 - Alah pada khinzir, ayah pesan masuk saja Islam

Bahagian 3- Aliya teruja jalani Ramadan pertama sebagai saudara baru

Bahagian 2 - Menemui cinta agung dalam kembara

Bahagian 1 - Nama Islamku Tay Eng Soon


Nota editor: Tulisan ini bahagian keenam (akhir) daripada siri kisah perjalanan rohani memeluk Islam yang disiarkan Malaysiakini sempena Ramadan 2019.