Skip to main
Logo Malaysiakini

India dapatkan waran tangkap terhadap Zakir Naik

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pendakwah kontroversi Zakir Naik mungkin menghadapi ekstradisi ke India, lapor akhbar The Hindu, hari ini.

Direktorat Penguatkuasaan India (ED) akan cuba mendapatkan waran tangkap terhadap Zakir dan pendakwah lain dalam perbicaraan yang sedang didengar oleh mahkamah khas di Mumbai di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2002.

Mahkamah Mumbai pada 19 Jun ini akan memutuskan sama ada waran tangkap tanpa jaminan boleh dikeluarkan terhadap Zakir atas tuduhan pengubahan wang haram.

Jika waran tangkap dikeluarkan, polis India boleh membuat permintaan kepada Interpol untuk mendapatkan notis merah terhadap Naik dan ekstradisinya dari Malaysia.

Malaysia adalah negara anggota Interpol dan mempunyai perjanjian ekstradisi dengan India.

ED, yang berfungsi untuk membendung pengubahan wang haram, dijangka membuka lebih banyak prosiding terhadap Zakir di bawah Akta Pelanggar Ekonomi India 2018.

Pertuduhan ini berkaitan lebih daripada 1.93 bilion rupee (RM115.66 juta) daripada hasil jenayah di India dan di luar negara yang dikenal pasti oleh agensi penguatkuasaan.

Zakir didakwa melabur di Dubai dengan membina banglo mewah, sementara organisasinya, Yayasan Penyelidikan Islam, dikatakan menerima sejumlah besar wang dari "sumber yang meragukan, mencurigakan atau tidak diketahui."

Pendakwah itu juga dituduh mengeluarkan ucapan kebencian dan menghasut ke arah keganasan melalui saluran Tvnya, Peace TV.

Saluran TV itu diharamkan di India, tetapi mempunyai anggaran 200 juta penonton di seluruh dunia.

Walaupun Delhi membuat permintaan rasmi supaya Zakir diekstradisi, kerajaan Pakatan Harapan tidak mematuhinya melainkan Zakir melanggar undang-undang Malaysia.