Skip to main
Logo Malaysiakini

MP: Keadaan Zakir Naik berbeza dengan Sirul

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Situasi Zakir Naik tidak boleh dibandingkan dengan Sirul Azhar Umar yang lari ke Australia, kata Anggota Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh.

Beliau mengulas perbandingan yang dibuat oleh Dr Mahathir Mohamad ketika perdana menteri ditanya tentang usaha berkenaan ekstradisi Zakir bagi menjalani perbicaraan di India.

Ramkarpal berkata Sirul telah disabit bersalah oleh mahkamah di Malaysia atas tuduhan membunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibuu, sedangkan Zakir yang didakwa atas tuduhan pengubahan wang haram belum dibicarakan.

Katanya, satu-satunya sebab Australia menolak permohonan Malaysia untuk ekstradisi Sirul adalah kerana bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) itu berdepan hukuman mati - dasar yang dibantah negara itu.

Australia bagaimanapun tidak pernah mempersoal sama ada Sirul menerima perbicaraan yang adil atau tidak, katanya lagi.

"Maka ciri paling jelas yang membezakan kes Zakir dan Sirul ialah keengganan Australia mengekstradisi Sirul bukan kerana dia tidak menerima perbicaraan yang adil, tetapi kerana dia berdepan hukuman mati kerana telah disabit bersalah.

"Australia tidak mempersoalkan sama ada Sirul menerima perbicaraan yang adil di Malaysia sebelum sabitan ke atasnya, maka kita juga tidak perlu mempersoal sama ada Zakir akan menerima perbicaraan yang adil atau tidak di India.

"Negara perlu saling menghormati sistem perundangan (negara lain) kecuali, mungkin, jika ia melibatkan negara seperti Korea Utara. Untuk itu, pertimbangan perlu digunakan dalam soal repatriasi (penghantaran balik)," katanya dalam kenyataan.

Ramkarpal Singh

Pada masa sama, kata Ramkarpal, Malaysia tiada masalah menghantar aktivis Praphan Pipithnamporn kembali ke Thailand walaupun wujud kebimbangan dia tidak menerima perbicaraan adil ekoran undang-undang lese-majeste (berkenaan institusi diraja) negara itu yang tegas.

"Perdana menteri dilaporkan berkata Malaysia tiada pilihan kerana Thailand meminta Praphan diekstradisi.

"Hal yang sama untuk kes Zakir Naik," katanya yang juga seorang peguam.

Beliau berkata Zakir berdepan tuduhan jenayah di India dan mungkin dibebaskan jika berjaya membela dirinya.

"Maka kesnya tidak boleh dibandingkan dengan kes Sirul.

"Keengganan Malaysia untuk menghantar Zakir pulang ke India, jika India membuat permohonan sama (seperti Thailand), juga boleh mencetuskan ketegangan dalam hubungan antara dua negara," katanya.

Katanya lagi, perkara itu tentunya tidak menguntungkan kedua-dua negara.

Direktorat Penguatkuasaan India (ED) dilaporkan dalam usaha mendapat waran tangkap antarabangsa terhadap Zakir yang kini tinggal di Malaysia.

Beliau dikehendaki pihak berkuasa untuk menjalani perbicaraan yang sedang berlangsung di Mumbai di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2002 negara itu.