Kuala Koh akan dimajukan sebagai pusat pelancongan - Kesedar
Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) akan bekerjasama dengan agensi kerajaan pusat khususnya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk memajukan Kuala Koh sebagai pusat pelancongan.
Pengerusi Kesedar Sazmi Miah berkata Kuala Koh berpotensi untuk dimajukan kerana mempunyai hutan semula jadi yang kaya dengan kepelbagaian hidupan liar, flora serta fauna.
“Selain itu ia juga mempunyai ekosistem dan hutan hujan tropika yang sesuai dengan aktiviti ekopelancongan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D),” katanya ketika dihubungi Bernama di Machang, hari ini.
Kuala Koh terletak di kawasan Hutan Simpan Bukit Hantu dan Hutan Simpan Lebir di Gua Musang yang bersempadan dengan Terengganu dan Pahang.
Sazmi berkata sehingga kini Taman Negara Kuala Koh dengan kerjasama Kesedar sudah menyediakan kemudahan penginapan seperti chalet, asrama, bilik mesyuarat, restoran, perkhidmatan bot dan tapak perkhemahan.
Beliau berkata sepanjang tempoh 2000 hingga 2006, lebih 25,000 pelancong telah mengunjungi taman negara tersebut dengan 2.2 peratus terdiri daripada pelancong asing.
Bagaimanapun katanya memandangkan jaraknya yang jauh kira-kira 96km dari pekan Gua Musang, ditambah pula dengan promosi yang kurang dan kekangan kemudahan pengangkutan untuk membawa pelancong ke kawasan itu, telah menjejaskan kedatangan pelancong asing ke kawasan itu.
Sazmi berkata pihaknya akan berusaha untuk mencari kaedah terbaik bagi menyelesaikan masalah itu dengan membabitkan agensi kerajaan berkaitan supaya ia menjadi popular dalam kalangan pelancong asing sekali gus memberi manfaat kepada penduduk terutama masyarakat Orang Asli.
Dalam pada itu, Sazmi yang juga Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Kelantan berkata penularan penyakit radang paru-paru (pneumonia) dalam kalangan masyarakat Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh tidak seharusnya dijadikan modal politik oleh pihak berkepentingan untuk meraih sokongan.
Sazmi berkata sudah ada pihak berkepentingan cuba melontar kesalahan kepada agensi-agensi kerajaan Persekutuan termasuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dalam isu tersebut.
“Sepatutnya dalam situasi yang tidak menentu seperti sekarang semua pihak perlu cuba untuk membantu agar kejadian itu dapat dibendung dan bukannya mencari kesalahan orang lain,” katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai