Skip to main
Logo Malaysiakini

Isu video seks: Shamsul Iskandar beri keterangan pada polis

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Timbalan Menteri Industri Utama Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin hadir ke Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka hari ini untuk memberi keterangan berhubung kes video lucah yang dikaitkan dengan seorang menteri.

Shamsul Iskandar yang juga anggota parlimen Hang Tuah Jaya berkata, beliau akan membantu polis memberi keterangan berhubung pembabitan bekas setiausaha sulit kanannya, Haziq Abdullah Abdul Aziz yang turut dikaitkan dengan rakaman video itu.

“Pasukan polis Bukit Aman telah menghubungi pejabat saya semalam meminta supaya saya dapat menghadirkan diri ke balai polis untuk memberikan keterangan pada 6.30 petang ini dan membantu siasatan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Parlimen Hang Tuah Jaya di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di Ayer Keroh hari ini.

Turut hadir presiden PKR yang juga anggota parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim.

Shamsul Iskandar berkata kali terakhir beliau menghubungi Muhammad Haziq adalah pada Selasa lepas iaitu selepas pulang dari Yangon atas urusan rasmi, dan sehari selepas itu beliau cuba menghubungi bekas setiausaha sulitnya itu menerusi khidmat aplikasi WhatsApp namun tiada sebarang respons.

Sebelum ini, tular di media sosial video lucah kononnya membabitkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali dan seorang lagi lelaki serta dakwaan kononnya sejumlah wang sebuah syarikat disalurkan ke akaun milik menteri itu.

Semalam, Haziq digantung tugas serta-merta sebagai setiausaha sulit kanan kepada timbalan menteri industri utama kerana didakwa memburukkan imej dan reputasi kementerian.

-Bernama