Skip to main
Logo Malaysiakini

Jeyakumar: Ikut sistem UK tangani yuran klinik swasta

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Sistem kesihatan seperti Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NSH) di United Kingdom (UK) dianggap mampu menyelesaikan masalah yuran konsultasi pengamal perubatan am (GP) swasta yang dikatakan rendah.

Bercakap kepada Malaysiakini, anggota jawatankuasa pusat PSM, Dr Jeyakumar Devaraj berkata berdasarkan sistem berkenaan, kerajaan membayar yuran konsultasi mengikut jumlah pesakit yang dirawat seseorang doktor.

“Seeloknya, GP swasta patut berada di bawah skim kesihatan nasional. 

"Skim tersebut telah dipraktikkan di UK di mana mereka meletakkan sejumlah pesakit di bawah seorang doktor dan pihak kerajaan membayar yuran konsultasi berdasarkan jumlah pesakit,” ujarnya.

Sebelum ini, harga yuran konsultasi bagi GP swasta ditetapkan antara RM10 dan RM35.

Pada 2013, satu pindaan dibuat bagi menaikkan yuran konsultasi GP di hospital swasta yang digazetkan di bawah Jadual 13 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Swasta kepada RM 35 hingga RM 125.

Namun pindaan tersebut tidak mengambil kira pengamal perubatan yang mempunyai klinik sendiri di bawah Jadual 7 akta yang sama.

Mereka meminta supaya yuran konsultasi dinaikkan selari dengan pengamal perubatan di hospital swasta.

Pun begitu, untuk melaksanakan cadangan tersebut, terdapat beberapa halangan terutamanya dari segi kewangan.

Telan kos besar

Jeyakumar berkata cadangan tersebut akan menelan kos yang besar kerana pihak kerajaan harus membayar yuran konsultasi pesakit.

“Ia merupakan cadangan yang baik tetapi akan menelan belanja yang besar. Mana pihak kerajaan nak mendapatkan wang untuk membayarnya?”

“Masalah ini merupakan penghalang utama untuk merealisasikan idea tersebut,” ujarnya kepada Malaysiakini.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan sesetengah doktor menaikkan harga ubat demi menampung kos operasi kerana yuran konsultasi yang rendah.

Ditanya mengenai penyelesaian kepada dilema tersebut, Jeyakumar mengatakan Skim Peduli Kesihatan untuk kumpulan B40 (Peka) merupakan langkah awal ke arah merealisasikan cadangan tersebut.

Bagaimanapun katanya ia masih perlu diperhalusi bagi mewujudkan sistem yang lebih menyeluruh dan mendapatkan dana untuk program tersebut.

Program Peka B40 merupakan inisiatif kerajaan melalui kementerian Kesihatan bagi menampung keperluan kesihatan golongan berpendapatan rendah.

Program ini memberi fokus kepada masalah kesihatan yang melibatkan penyakit tidak berjangkit (NCD).

Di UK, NHS merupakan sistem kesihatan universal terbesar di dunia.

Perkhidmatan itu dibiayai pihak kerajaan dan diselia oleh Jabatan Kesihatan dan Khidmat Sosial.

NHS memberi perlindungan kesihatan kepada semua penduduk Britain yang sah di mana kebanyakan perkhidmatan yang ditawarkan adalah percuma.

Sesetengah perkhidmatan seperti rawatan kecemasan dan rawatan terhadap penyakit berjangkit juga percuma kepada pelancong.