Skip to main
Logo Malaysiakini

Bantahan senyap solidariti untuk Hong Kong di KL

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Sekumpulan rakyat Malaysia di Kuala Lumpur menunjukkan solidariti dengan penunjuk perasaan di Hong Kong yang membantah RUU ekstradisinya.

Bagaimanapun, pihak polis melarang peserta himpunan tersebut daripada berarak ke kawasan pusat bandaraya.

Kira-kira 50 orang peserta berkumpul di luar bangunan Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur (KLSCAH) sekitar jam 2.45 petang hari ini.

Rata-rata peserta himpunan memakai baju hitam dan memegang sepanduk.

Plakad mereka antaranya berulis "Solidariti dengan Hong Kong" dan "Anti Undang-undang Ekstradisi."

Memandangkan peserta himpunan dilarang berarak, mereka sedang melakukan bantahan senyap sekarang dengan duduk di atas jalan berhadapan pintu masuk KLSCAH.

Sementara itu, dianggarkan lebih 60 anggota polis berkawal di sana.

Seorang anggota polis yang enggan dinamakan memberitahu pemberita seramai 66 anggota polis daripada berbagai jabatan sedang bertugas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wang Mohd Fahmi Visuvanathan berkata pihaknya akan menjalankan siasatan kerana penganjur tidak mengemukakan makluman mengenai perhimpunan hari ini.

Fahmi (gambar) menafikan pihak polis menerima arahan untuk menghentikan perhimpunan tersebut.

"Tidak, kami tidak menerima arahan daripada sesiapa tetapi kami diberi maklumat perhimpunan ini diadakan. Itulah sebabnya kami di sini.

"Kami cuma mahu memastikan perhimpunan berjalan secara aman dan teratur.

"Memandangkan tiada notis diberikan, mungkin kami akan menyiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012," katanya kepada pemberita di luar KLSCAH.

Fahmi juga memberitahu dua wanita dari China yang memerhatikan himpunan ini telah ditahan, namun penangkapan mereka di bawah undang-undang imigresen.

"Kami menahan mereka di bawah undang-undang imigresen kerana merea tidak dapat menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri.

"Apabila kamu memasuki negara kami, kami perlukan passport dan dokumen perjalanan sah bersama kamu," katanya lagi.

Himpunan di Hong Kong membantah RUU ekstradisi.

RUU itu yang membenarkan ekstradisi pesalah ke China menjadi punca ratusan ribu orang turun berdemonstrasi di Hong Kong sepanjang minggu lalu.

Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam semalam dipetik media berkata rancangan RUU itu ditangguhkan sementara buat masa ini.

Bagaimanapun, pengkritik RUU ini mendesak agar ia dibatalkan terus.

Terdapat juga gesaan supaya Lam meletakkan jawatannya.

Para penunjuk perasaan bimbang dengan perluasan pengaruh daripada pentadbiran di Beijing terhadap Hong Kong.

Hong Kong bekas tanah jajahan Britain, tetapi dikembalikan kepada pemerintahan China pada tahun 1997 di bawah perjanjian "satu negara, dua sistem" yang menjamin autonomi terhadap pulau itu.

Kerajaan Hong Kong mendakwa rang undang-undang ekstradisi yang dicadangkan itu akan "menutup kelemahan" undang-undang yang boleh dieksploitasi supaya bandar itu tidak menjadi tempat selamat bagi penjenayah berlindung.

Pengkritik pula mengatakan undang-undang itu akan mendedahkan warga Hong Kong terhadap sistem keadilan yang tidak sempurna di China dan mengakibatkan terjejasnya kebebasan kehakiman di pulau kota itu.

[Baca berita asal]