Skip to main
Logo Malaysiakini

Saifuddin nafi maklumat ahli dibocorkan bagi sebar klip video seks

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata, dengan keahlian hampir mencecah 900,000, semestinya PKR menyimpan maklumat ahli dan ia boleh didapatkan dengan memohon kepada ibu pejabat parti.

Kata Saifuddin, PKR membuat keputusan untuk mengambil pendekatan itu ketika pemilihan parti pada 2018. Ia termasuklah alamat dan nombor telefon, bagi memudahkan pihak yang ingin bertanding atau jentera kempen.

Tambahnya, ia diadakan bagi memastikan calon bertanding dengan adil.

Saifuddin juga berkata bahawa, adalah perkara biasa bagi seseorang calon untuk memperoleh maklumat ahli sebelum menawarkan diri bertanding dalam pemilihan parti.

"Jadi itu satu proses yang bukannya luar biasa, itu dibenarkan dalam parti.

"Sama ada tulis surat kepada parti untuk dapatkan (maklumat itu) atau tubuhkan pasukan sendiri untuk dapatkan daripada kepimpinan negeri, atau sayap parti, ia boleh dibuat secara terbuka, tak ada yang rahsia tentangnya (proses itu)," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

Saifuddin berkata demikian selepas diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali yang menggesa kepimpinan partinya menjelaskan kenapa pihak yang menyebarkan video seks yang dikatakan memaparkan individu miripnya itu boleh memiliki nombor telefon semua pemimpin cabang parti.

Menurut Azmin, dia sendiri tidak memiliki akses terhadap maklumat sedemikian.

Saifuddin bagaimanapun menafikan tanggapan yang melihat maklumat itu dibocorkan ibu pejabat PKR bagi tujuan menyebarkan klip video seks berkenaan.

"Sama ada ibu pejabta bertanggungjawab atau terlibat memberikan maklumat ini kepada pihak yang menyebarkan (klip video seks), jawapannya 'tidak'," tegasnya.

Azmin menjadi tumpuan selepas Ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz mengaku sebagai salah seorang individu dalam klip video berkenaan.

Haziq juga mendakwa bahawa individu bersamanya dalam klip video itu adalah Azmin.

Azmin menafikan tuduhan itu dan menyifatkan ia sebagai percubaan untuk menjatuhkan kerjaya politiknya.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, PKR akan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan.

Jelas Saifuddin, keputusan itu dibuat biro politik PKR Rabu lalu selepas perbincangan panjang, tidak lama selepas klip video seks berkenaan disebarkan.

"Kami (PKR) buat keputusan untuk menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk jalankan siasatan.

"Jika ada sebarang perkembangan terbaru, jika ada petunjuk, kita terbuka untuk itu (siasatan dalaman terhadap Azmin)," katanya kepada Malaysiakini ketika ditanya sama PKR akan menjalankan siasatan dalaman terhadap Azmin.

"Ini bukan keputusan saya atau (Presiden PKR) Anwar Ibrahim, ini keputusan biro politik," tambahnya.

Saifuddin juga berkata kabinet tidak membincangkan tentang klip video lucah itu pada mesyuarat minggu lalu.

"Ketika itu, hanya beberapa jam selepas klip video itu disebarkan, jadi kami tumpukan pada perkara lain," kata Saifuddin, yang juga merupakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.