Skip to main
Logo Malaysiakini

Mak cik Jho Low setiausaha syarikat TRX City

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Setiausaha syarikat TRX City Sdn Bhd, Goh Gaik Kim ialah ibu saudara kepada ahli perniagaan dalam buruan Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho.

Gaik Kim memegang jawatan itu sejak penghujung Mac 2011, lapor The Edge.

Memetik sumber, akhbar perniagaan itu melaporkan Gaik Kim ialah saudara perempuan bongsu kepada ibu Jho Low, Evelyn Goh Gaik Ewe.

Laporan itu turut menyebut Loh juga menjadi setiausaha syarikat kepada syarikat induk TRX City, 1MDB, dikatakan sehingga April 2016.

Seorang pengurus kanan TRX City mendakwa dia tidak tahu Gaik Kim merupakan ibu saudara kepada Low.

"Secara jujur, saya tidak tahu. Saya tidak tahu jika dia ialah ibu saudara Jho Low," katanya seperti dilaporkan The Edge.

Untuk rekod, kedua ibu bapa Low, Low Hock Peng dan Gaik Ewe sedang dikesan oleh pihak berkuasa bagi membantu siasatan berhubung skandal 1MDB.

Sementara itu, seorang pemerhati pula menimbulkan persoalan konflik kepentingan dalam hal ini kerana keluarga Low dikehendaki oleh pihak polis.

"Walaupun Gaik Kim layak untuk memegang jawatan itu - laman web TRX City mengatakan dia mempunyai pengalaman lebih 20 tahun sebagai setiausaha syarikat - persoalan konflik (kepentingan) ini timbul kerana kakaknya (Evelyn Goh) dan abang ipanya (bapa Low) dikehendaki pihak polis atas tuduhan mereka terlibat dalam skandal 1MDB, dan anak saudaranya dianggap sebagai dalang kepada penipuan 1MDB.

"Sebagai setiausaha syarikat, Gaik Kim akan mempunyai akses kepada keputusan utama TRX City. Apa jaminan maklumat berkenaan tidak akan dikongsikan kepada saudaranya yang sedang diburu itu," kata pemerhati tersebut.

Siasatan sebelum ini mendapati sebanyak AS$ 681 juta (RM2.6 bilion) daripada dana AS$ 3 bilion dipindahkan ke akaun milik bekas perdana menteri Najib Razak.

AS$ 3 bilion, yang ditaja jamin oleh Goldman Sachs sebagai bon 10 tahun pada 2013 bagi pembangunan Tun Razak Exchange, namun ia dilaporkan telah diselewengkan.

TRX City adalah pemaju utama untuk projek mega berkenaan.

Pada tahun 2013, Najib terbabit dengan kontroversi yang dikaitkan dengan sumbangan RM2.6 bilion, yang kononnya diterima daripada raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdulaziz Al Saud.

Najib bagaimanapun mendakwa bahawa sebahagian wang yang tidak digunakan, berjumlah AS$ 620 juta, telah dikembalikan kepada Arab Saudi.

Kes berkenaan kini sedang didengar di mahkamah.

[Baca berita asal]