Skip to main
Logo Malaysiakini

Guan Eng: Gaik Kim kata dia bukan makcik Jho Low

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Setiausaha syarikat TRX City Sdn Bhd, Goh Gaik Kim bukan ibu saudara kepada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, kata Kementerian Kewangan.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata Gaik Kim telah menafikan Jho Low ialah anak saudaranya.

"Bagaimanapun, kami masih menyiasat perkara ini. Kami akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung hal ini selepas siasatan kami selesai," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Suatu laporan The Edge hari ini mendakwa Gaik Kim yang memegang jawatan setiausaha syarikat sejak penghujung Mac 2011 merupakan ibu saudara kepada Jho Low.

Dilaporkan juga bahawa ibu Low, Evelyn Goh Gaik Ewe ialah kakak kepada Gaik Kim.

Jho Low serta ibu bapanya, Low Low Hock Peng dan Evelyn Goh, dikehendaki polis bagi membantu siasatan mengenai skandal 1MDB.

Memetik sumber, akhbar perniagaan itu melaporkan Gaik Kim ialah saudara perempuan bongsu kepada ibu Jho Low, Evelyn Goh Gaik Ewe.

Laporan itu turut menyebut Loh juga menjadi setiausaha syarikat kepada syarikat induk TRX City, 1MDB, dikatakan sehingga April 2016.

Gaik Kim mungkin tidak terlibat dengan 1MDB tetapi persoalan konflik kepentingan timbul kerana Low dan kedua ibu bapanya dikehendaki pihak berkuasa.

Malaysiakini sedang menghubungi Gaik Kim bagi mendapatkan ulasan.

[Baca berita penuh]