Skip to main
Logo Malaysiakini

Morsi mangsa daulah terpendam

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

BELASUNGKAWA | Masyarakat dunia terkejut dengan berita kematian bekas presiden Mesir yang dilantik secara demokrasi, Dr Mohamed Morsi.

Selain terkejut, dunia juga bersedih dengan kematian Morsi yang masih dalam tahanan dan meninggal dunia ketika perbicaraan sedang berlangsung.

Pemergiannya merupakan suatu perkara yang amat menyedihkan bagi mereka yang percaya bahawa ruang terbaik untuk ke persada kuasa ialah melalui proses demokrasi dan proses itulah yang menjadi pilihan rakyat.

Morsi telah ditahan dan dibicarakan sejak 2013 selepas digulingkan oleh tentera Mesir. Beliau juga tidak diberi akses kepada peguam mahupun doktor untuk merawat kesakitannya semasa di dalam tahanan.

Morsi mangsa kepada daulah terpendam (deep state) ketika beliau menjadi Presiden pada 2012.

Beliau mangsa daulah terpendam yang bekerja bukan untuk memulihkan sokongan rakyat, sebaliknya bekerja untuk merampas hak rakyat yang melantik Morsi.

Sepanjang setahun pemerintahan Morsi, daulah terpendam ini melakukan pelbagai operasi sabotaj seperti menyekat bekalan makanan dan keperluan asas lantas menyebabkan kemarahan rakyat yang menuduh Morsi gagal memenuhi perkara asas mereka.

Daulah terpendam juga beroperasi dengan menimbulkan pelbagai teori konspirasi yang menjadikan Ikhwanul Muslimin sebagai sasarannya.

Ini termasuk mereka berhubung dengan negara-negara luar untuk memburukkan kepimpinan Morsi yang dipilih secara demokratik.

Morsi adalah lambang pengorbanan kepada kehendak rakyat dan mangsa daulah terpendam.

Ia sekaligus memahamkan kita bahawa perubahan secara demokratik akan melalui cabaran yang besar khususnya daripada kalangan penggerak daulah terpendam.

Takziah daripada saya untuk seluruh ahli keluarga Morsi dan juga kepada seluruh rakyat Mesir yang telah memilih Morsi secara demokratik.


MUJAHID YUSOF merupakan menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.