Saksi: Nik Faisal terlibat dalam memorandum jemaah menteri
KES NAJIB | CEO SRC International Sdn Bhd Nik Faisal Ariff Kamil ada ketika pegawai Kementerian Kewangan menyediakan memorandum jemaah menteri berkenaan jaminan kerajaan terhadap pinjaman RM2 bilion syarikat itu.
Timbalan setiausaha bahagian pelaburan strategik Kementerian Kewangan Afidah Azwa Abdul Aziz memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa Nik Faisal memberikan maklumat yang diperlukan untuk menyediakan memorandum tersebut.
Ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Suhaimi Ibrahim, Afidah berkata dia merangka dokumen itu pada 15 Ogos 2011.
Memorandum itu dibentang dan diluluskan kabinet - tanpa perbincangan - dua hari kemudian.
Afidah berkata dia tidak diberi ruang untuk mengkaji SRC International dan terpaksa bergantung kepada maklumat yang diberikan oleh Nik Faisal semata-mata.
Suhaimi: Sebenarnya berapa jam puan ambil masa untuk siapkan memorandum jemaah menteri?
Afidah: Dalam masa beberapa jam. Saya tak ingat secara tepat.
Suhaimi: Masa sediakan MJM itu, di mana Nik Faisal dan (wakil SRC dan pembantu Nik Faisal) Zahid (Taib)?
Afidah: Ada di depan saya.
Suhaimi: Bagaimana puan sediakannya?
Afidah: Saya sediakan laptop dan pancarkan (skrin) di bilik mesyuarat. Saya taip apa yang disampaikan (oleh mereka).
Sebelum dokumen itu, Afidah berkata dia terlibat dalam penyediaan lima dokumen serupa berkenaan jaminan kerajaan dan ketika itu memiliki cukup masa untuk membuat kajian.
"Ketika lima proses (sediakan memorandum) jaminan itu, pihak kami ada masa untuk atur mesyuarat dan hubungi kementerian terlibat.
"Kami ada masa untuk bincang dan teliti akaun syarikat serta ketahui projek-projek yang akan dilaksanakan dan masukkannya dalam dokumen untuk kabinet," katanya.
'Syarikat perdana menteri'
Ketika pemeriksaan balas pagi tadi, Afidah berkata dia "digesa" untuk menyegerakan dokumen itu dan rungutannya tidak diendah oleh ketua jabatannya, Maliami Ahmad.
Ketika ditanya ketua pasukan pembelaan Muhammad Shafee Abdullah, Afidah berkata Maliami mengarahkannya untuk duduk berbincang dengan Nik Faisal dan Zahid.
Afidah berkata dia tidak membangkitkan perkara itu kepada orang atasan Maliami - bekas ketua setiausaha perbendaharaan Mohd Irwan serigar - walaupun boleh berbuat demikian.
Ketika disoal Suhaimi kemudiannya, Afidah yang merupakan saksi ke-41 berkata Maliami tidak mengedahkan bantahannya dan berkata dia hanya mengikut arahan.
Maliami malah memberitahunya bahawa SRC International adalah "syarikat PM", kata Afidah lagi.
Pasukan pembelaan mengemukakan bantahan terhadap keterangan Afidah berkenaan "syarikat PM" tetapi Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata keterangan itu boleh diterima kerana ia susulan daripada jawapan saksi ketika pemeriksaan balas sebelumnya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai