Skip to main
Logo Malaysiakini

Saman sivil : Wanita MCA, MCA Pahang dakwa tak tahu sumber dana

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Wanita MCA dan Badan Perhubungan MCA Pahang percaya saman pelucuthakan sivil yang difailkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini akan memberikan mereka peluang untuk membersihkan nama di mahkamah.

Dalam satu kenyataan bersama, mereka menegaskan tidak mengetahui atau dimaklumkan mengenai sumber dana yang diterima daripada bekas perdana menteri, Najib Razak sebelum pilihan raya umum ke-13 (PRU13) pada tahun 2013.

Mereka juga mendakwa telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan.

"Sejak tahun lepas, Wanita MCA dan Badan Perhubungan MCA Pahang memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan yang dijalankan oleh SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Kami mengemukakan laporan aktiviti yang mana dana itu digunakan untuk yang sepatutnya,"kata kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan pengumuman oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya bahawa saman pelucuthakan sivil berjumlah RM270 juta akan difailkan terhadap 41 individu dan entiti hari ini.

Latheefa berkata, wang berkenaan telah diagihkan kepada penerima daripada akaun peribadi milik Najib di AmBank.

SPRM setakat ini diberi empat tarikh oleh mahkamah untuk kes itu didengar secara berasingan iaitu pada 25 Jun, 10 Julai, 24 Julai dan 31 Julai.

Kenyataan itu juga berkata, Wanita MCA dan Badan Perhubungan MCA negeri Pahang sedang dalam proses mendapatkan nasihat undang-undang daripada peguam bagi membuktikan mereka tidak bersalah di mahkamah. 

Sementara, sekutu MCA, Umno sedia berdepan saman pelucuthakan yang difail SPRM untuk mendapatkan semula wang berkaitan 1MDB yang didakwa diterima parti itu di mahkamah, kata pemangku presidennya Mohamad Hasan.

"Itu prosedurnya, selepas setahun (dibekukan), mereka buat permohonan untuk sita wang. Jadi SPRM buat prosedur mengikut lunas undang-undang

"Umno mesti mengemukakan hujah mengapa duit tersebut perlu dipulangkan kepada kita. Kami akan lakukan," katanya.