Skip to main
Logo Malaysiakini

Persempadanan semula untuk tambah kerusi DAP tak berasas - Zulpuri

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Dakwaan presiden Umno bahawa terdapat cadangan untuk melakukan persempadanan semula kawasan pilihan raya bagi menambahkan kerusi DAP di parlimen disifatkan sebagai tuduhan tidak berasas.

Naib Pengerusi DAP, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, berkata sesiapa sahaja boleh mengeluarkan tuduhan sedemikian tanpa mengemukakan sebarang bukti.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan Ahmad Zahid Hamidi bahawa terdapat cadangan untuk meminda perlembagaan bagi tujuan itu.

"Kena tanya dia (Dr Ahmad Zahid Hamidi) cadangan dari mana, lepas itu baru boleh komen lanjut, semua orang boleh bercakap macam itu.

"Saya pun boleh bercakap ada juga daripada pemimpin Umno mahu ubah perlembagaan Umno supaya dapat singkirkan Najib (Razak) dan beliau (Ahmad Zahid) sendiri," katanya kepada Malaysiakini.

Semalam Ahmad Zahid dilapor berkata melalui pindaan perlembagaan itu nanti dijangka akan menyebabkan pertambahan bilangan kerusi parlimen di kawasan-kawasan bandar.

"Mungkin ada cadangan kawasan-kawasan yang mempunyai jumlah pengundi melebihi 100 ribu, akan ada pertambahan kerusi. Kerusi-kerusi ini di kawasan bandar," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kepong, di Selayang.

Pada 14 Mac lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan badan itu sedang mengkaji sama ada Parlimen boleh membatalkan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dibuat pentadbiran bekas Perdana Menteri, Najib Razak.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun, berkata sekiranya ia boleh dibatalkan, kerajaan boleh membuat persempadanan semula kawasan pilihan raya yang baru sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Katanya, SPR memiliki tempoh tidak lebih dua tahun bagi mengkaji dan membuat cadangan meminda persempadanan semula yang dibuat oleh kerajaan terdahulu.