Skip to main
Logo Malaysiakini

Media tak dibenar buat liputan ucapan Zahid di Melaka

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi membuat kemunculan kali kedua apabila merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian Masjid Tanah di Melaka hari ini. 

Semalam, beliau menghadiri mesyuarat perwakilan Umno bahagian Kepong, selepas berehat kira-kira enam bulan sebagai presiden.

Bagaimanapun, pihak media selain daripada portal rasmi parti itu, Umno Online tidak dibenarkan memasuki dewan ketika Zahid sedang berucap hari ini.

Malah beberapa pemberita yang hadir di situ turut tidak dibenarkan menunggu di bahagian luar pintu ketika perasmian mesyuarat itu berlangsung di sebuah villa.

Sebaliknya, wartawan hanya diminta menunggu di tingkat bawah dewan tersebut.

Ucapan Zahid hanya dimuat naik oleh ahli majlis tertinggi Umno lokman Noor Adam di halaman Facebooknya.

Ia tidak seperti keadaan yang berlangsung sewaktu mesyuarat perwakilan Umno bahagian Kepong semalam apabila media dibenarkan membuat liputan ucapannya.

Apabila pemberita bertanya mengapa tidak dibenarkan memasuki dewan, jawapan yang diterima adalah “minta maaf, ini atas arahan.”

Mesyuarat berlangsung sekitar satu jam setengah itu bermula pada jam 11.10 pagi dan berakhir jam 12.30 tengah hari.

Ia disusuli dengan majlis jamuan rumah terbuka yang meriah, dengan hidangan juadah hari raya dan diserikan dengan nyanyian daripada penyanyi terkenal Jamal Abdillah dan Ramli Sarip.

Selain dihadiri perwakilan Umno cawangan kawasan tersebut, mesyuarat tersebut dihadiri oleh Ketua Umno bahagian Masjid Tanah, Ab Rauf Yusoh.