Skip to main
Logo Malaysiakini

Menteri sokong cadangan naikkan cukai import alkohol, tembakau

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad menyambut baik cadangan menaikkan cukai import bagi alkohol dan tembakau pada pembentangan Belanjawan 2020.

Menurutnya, walaupun cukai import bukan di bawah bidang kementerian kesihatan (KKM), beliau sedia membawa isu itu ke kabinet.

“Baguslah. (Kenaikan cukai import bagi alkohol dan tembakau). Ini bukan bidang kuasa saya.

“Saya akan bangkitkan di kabinet,” katanya kepada pemberita di sidang media di Universiti Putra Malaysia, hari ini.

Turut hadir Presiden Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), Profesor Dr Lekhraj Rampal, dan Naib Canselor UPM, Dr Aini Ideris Naib Canselor.

Sementara itu, Dr Rampal mengesahkan bahawa usaha untuk menaikkan cukai import bagi alkohol dan tembakau telah pun disampaikan kepada perhatian kerajaan.

“Kami telah membawa isu (ke) perhatian kerajaan. Ini satu isu yang penting.

“Kami nak harga tembakau dan alkohol dinaikkan,” katanya ketika menjawab soalan pendirian KKM berkenaan cadangan menaikkan cukai import kepada alkohol dan tembakau.

Untuk rekod, kerajaan tidak menaikkan cukai import bagi produk mengandungi alkohol dan tembakau hampir 15 tahun.

Pelbagai NGO dan ahli politik meminta kerajaan untuk memberi perhatian terhadap gesaan menaikkan cukai import alkohol dan tembakau pada Belanjawan 2020.

Terdahulu, Dr Dzulkefly berkata bahawa KKM memohon peruntukan tambahan daripada kementerian kewangan agar rawatan berhenti merokok ini dapat dijalankan dengan jayanya.

“Ini adalah bukti bahawa kerajaan bersungguh-sungguh dalam hasrat membantu golongan perokok ini, bukan hanya sekadar untuk mendenda mereka.

Beliau turut memberitahu penglibatan generasi muda terutamanya golongan pelajar sekolah dan penuntut universiti dilihat sebagai langkah yang bijak dalam melahirkan generasi bebas amalam merokok.

“Golongan ini berpotensi menjadi agen penyebar maklumat tentang bahaya amalan merokok melalui saluran media sosial,” katanya selepas merasmikan konvensyen kesedaran persekitaran bebas amalan merokok sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2019 di Dewan Kuliah Utama, UPM, Seri Kembangan.

Program anjuran UPM bersama MCTC turut mengucapkan terima kasih kepada KKM selepas mengistiharkan 31 Mei sebagai Hari Tanpa Tembakau Sedunia.

Menurutnya kajian ‘National Healthy Morbidity Survey 2015 menganggarkan 5 juta rakyat Malaysia berumur 15 tahun ke atas adalah perokok.

Kajian itu turut menunjukkan bahawa sebanyak 20,000 kematian setiap tahun akibat komplikasi penyakit adalah berpunca daripada bahaya asap rokok.