Skip to main
Logo Malaysiakini

Nasib MAS belum diputuskan, kata Azmin

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali berkata, Khazanah Nasional Berhad masih belum memutuskan nasib syarikat penerbangan negara Malaysia Airlines Bhd (MAB), memandangkan ia masih dalam perbincangan.

Bagaimanapun, Azmin yang juga ahli lembaga pengarah Khazanah berkata, Khazanah sedang memikirkan pilihan terbaik untuk syarikat penerbangan negara itu kekal berdaya maju.

"Belum (buat keputusan). Perkara ini telah dibincangkan secara ringkas dalam mesyuarat lembaga pengarah Khazanah sebelum ini, pada akhir tahun lalu.

"Jadi, perkara ini ada dibangkitkan tetapi kami inginkan Khazanah kaji lebih lanjut mengenai pilihan dan (kita) lihat apa pilihan terbaik untuk pastikan syarikat penerbangan itu akan kekal berdaya maju untuk kita teruskannya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri rumah terbuka Amanah di Jalan Semarak, Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai keputusan Khazanah terhadap nasib MAB.

Ia susulan daripada kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini bahawa identiti syarikat penerbangan negara perlu dikekalkan biarpun selepas dijual kelak.

Namun, Azmin berkata masih belum ada tempoh tertentu keputusan itu akan dibuat.

"Tiada tarikh akhir ditetapkan untuk kajian itu tetapi kami akan benarkan Khazanah untuk mengendalikan kajian dan akan bincangkan semula dalam mesyuarat lembaga," katanya.