Skip to main
Logo Malaysiakini

'Pelawa Najib tanding PRN S'wak, menang boleh jadi KM'

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin menyarankan agar Najib Razak dipelawa untuk bertanding di mana-mana kerusi DUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang akan diadakan tahun depan.

Walaupun tidak menyebut secara khusus, ia jelas merujuk kenyataan Anggota Parlimen Batang Sadong Nancy Shukri bahawa bekas perdana menteri itu kekal popular di kalangan rakyat Sarawak.

Malah Nancy yang juga bekas menteri di jabatan perdana menteri berkata ada di kalangan rakyat negeri itu yang mahu Najib kembali sebagai perdana menteri.

"Jika dia terlalu 'ketagih' sangat nak 'bossku' jadi perdana menteri semula, elok rasanya dipelawa (Najib) bertanding di mana-mana DUN dalam PRN Sarawak.

"Jika menang ditabal pula sebagai ketua menteri yang baru. Jika tak dapat jadi perdana menteri, jadi ketua menteri pun okey kan?

"Teringat filem Seniman Bujang Lapok, Arwah Husin Lempoyang (dalam satu babak) kata jika tak dapat jadi Hang Tuah atau Hang Jebat, jadi Hang Kebun pun tak mengapa," katanya sinis menerusi hantaran Facebook hari ini.

Dalam sebuah forum di Kuala Lumpur semalam, Nancy turut menyifatkan Najib sebagai pemimpin yang memahami keperluan penduduk Sarawak dan telah mengunjungi negeri itu " lebih 60 kali".

Mengulas lanjut, Hanipa mempersoal sama ada benar ia kehendak rakyat Sarawak atau pun Nancy sendiri.

"Tak pasti sama ada yang dikatakan rakyat Sarawak itu beliau seorang sahaja atau majoriti yang lain. 

"Saya percaya rakyat di Semenanjung pula majoritinya mahukan bossku 'bertapa' di Sungai Buloh atau Kajang, bersama-sama isteri tersayang dan 'rakan sepermainan' beliau," sindirnya lagi.

Untuk rekod, Sarawak kini ditadbir Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang terdiri daripada bekas parti komponen BN yang mengambil keputusan untuk keluar daripada gabungan itu selepas PRU ke-14.

Najib yang membawa BN dalam kekalahan kali pertama dalam PRU kini berdepan 42 pertuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah jenayah dan salah guna kuasa.