Skip to main
Logo Malaysiakini

MAS perlu kekal bawah kerajaan, kata Najib

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Malaysia Airlines Bhd (MAS) perlu terus kekal di bawah kerajaan dan Khazanah Nasional Bhd, kata bekas perdana menteri Najib Razak.

Beliau berkata ini kerana Khazanah ada perancangan untuk memulihkan syarikat penerbangan negara yang berdepan masalah itu.

"Jadi saya fikir MAS perlu terus di bawah kerajaan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Mesyuarat Agung Tahunan Umno Gombak hari ini.

Minggu lalu, wartawan veteran A Kadir Jasin mencadangkan agar MAS disatukan dengan AirAsia untuk mengelakkan "jenama ikonik itu berkubur".

Sebelum ini, Perdana Menteri merangkap Pengerusi Khazanah Dr Mahathir Mohamad mengumumkan kerajaan sanggup menjual MAS jika menerima tawaran yang baik.

MAS mencatat kerugian dan bergelut selepas berdepan dua tragedi pada 2014.

Pesawat MH370 hilang dalam perjalanan ke Beijing, manakala pesawat MH17 ditembak jatuh di ruang udara Ukraine.

Sejumlah 537 anak kapal dan penumpang terkorban dalam dua kejadian itu.

Ia mengumumkan pelan pemulihan lima tahun dengan matlamat untuk kembali mencatat keuntungan menjelang 2018 namun gagal mencapai sasaran atas beberapa faktor.