Skip to main
Logo Malaysiakini

Hari ke-30: Saksi tak tolak kemungkinan Nik Faisal palsukan tandatangan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

LANGSUNG | Perbicaraan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak  melibatkan dakwaan penyalahgunaan dana SRC International Sdn Bhd memasuki hari ke-30 di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini.

Malaysiakini membawakan liputan secara langsung perbicaraan ini:


5.15 petang - Terima kasih kerana mengikuti laporan langsung kami hari ini.

Laporan dibuat oleh Hariz Mohd dan Hidir Reduan. Jurugambar oleh Azneal Ishak dan kemas kini media sosial oleh Ewe Ling Yenn.

Jika anda suka hasil kerja kami, sokong media bebas dengan melanggan Malaysiakini versi bahasa Inggeris serendah RM0.55 sehari. Butiran lanjut di sini.


4.57 petang - Prosiding ditangguhkan dan akan disambung semula 9 pagi esok.


4.44 petang - Bekas pengarah SRC International Suboh Md Yassin tidak menolak kemungkinan CEO syarikat itu sebelum ini, Nik Faisal Ariff Kamil memalsukan tandatangannya dalam dokumen bank.

Antara lain, ia didakwa dilakukan untuk memudahkan pemindahan wang melalui AmBank melibatkan jutaan ringgit dari dan kepada akaun syarikat subsidiari SRC, Gandingan Mentari.

Ketika peguam Muhammad Shafee Abdullah mencadangkan bahawa Suboh tidak boleh menyetujui pemindahan dana itu, saksi berkenaan berkata, "Ya".

Shafee: Nik Faisal memalsukan tandatangan anda, dan menyerahkan kepada bank?

Suboh: Mungkin.


4.15 petang - Perbicaraan seharusnya dimulakan semula selepas berehat sebentar, dengan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali masuk ruang mahkamah dan mengmabil tempat duduk.

Bagaimanapun, persidangan ditangguhkan selama tiga minit kerana Najib belum pulang.

Perbicaraan disambung semula pukul 4.18om, dengan peguam belas Najib meneruskan sesi pemeriksaan balas terhadap bekas pengarah SRC International Suboh Md Yassin.


3.30 petang - Bekas pengarah SRC International Suboh Md Yassin membandingkan dokumen yang ditandakan sebagai bukti dengan yang ditunjukkan pada skrin projektor.

Ini hanyalah sekadar formaliti untuk memastikan dokumen yang betul dipaparkan pada skrin.

Difahamkan pasukan peguam mengeluarkan projektor untuk membandingkan sampel tandatangan Suboh yang disediakan di mahkamah lebih awal dengan dokumen SRC International dan Gandingan Mentari.


2.57 petang - Perbicaraan diteruskan dengan pemeriksaan balas terhadap bekas pengarah SRC International Suboh Md Yassin oleh peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah.


2.45 petang - Projektor dan skrin tinggi dilihat di sebelah kiri ruang mahkamah, di mana terletaknya meja pasukan peguam bela.

Terdahulu, Shafee memaklumkan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bahawa pasukan pembelaan akan membawa sebuah projektor.

Shafee berkata eksibit dokumen mahkamah dipaparkan oleh skrin projektor bagi memudahkan Suboh dan pihak lain di mahkamah untuk mengikuti prosiding.


1 petang - Selepas peguam utama Muhammad Shafee Abdullah meneliti tandatangan bekas Pengarah SRC International, Suboh Md Yasin, mahkamah berhenti rehat untuk makan tengah hari.

Difahamkan apabila prosiding diteruskan pada jam 2.30 petang ini, pihak pembelaan akan membandingkan sampel tandatangan Suboh yang ditandatangani di mahkamah dengan dokumen syarikat dan bank.


12.35 tengah hari- Bekas pengarah SRC International, Suboh Md Yassin menurunkan sampel tandatangannya pada dua keping kertas di mahkamah.

Ini berlaku selepas Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menyaksikan sampel tersebut serta merta.

Permintaan itu dibuat oleh peguam utama Muhammad Shafee Abdullah semasa pemeriksaan balas terhadap Suboh, yang bermula kira-kira jam 12.15 tengah hari.

Soalan Shafee menumpukan keterangan terdahulu Suboh tentang variasi tandatangannya pada beberapa dokumen yang ditandatanganinya selaku pengarah SRC International dan anak syarikat Gandingan Mentari Sdn Bhd.

Suboh diminta menghasilkan dua set tandatangan, masing-masing 20 tandatangan, pada dua keping kertas.

Satu set adalah untuk tandatangan rasminya, dan yang lain adalah untuk menunjukkan tandatangan yang dia sebut dalam keterangannya sebagai "ikut sedap".

Semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff sebelum ini, Suboh memberi keterangan bahawa terdapat variasi dalam tandatangannya kerana ada yang ditandatangani "ikut sedap".


12 tengah hari - Peguam Kamarul Hisham Kamaruddin membantah "soalan utama" mengenai siapa menguasai lembaga pengarah SRC International.

Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusoff bertanya bekas pengarah SRC International Suboh Md Yassin mengenai siapa sebenarnya 'mengawal' lembaga itu berikutan pindaan kepada Artikel 117 memorandum dan penubuhan syarikat.

Mahkamah sebelum ini diberitahu bahawa pindaan itu dibuat oleh penasihat emeritus SRC International yang juga perdana menteri ketika itu, Najib Razak.

"Tidak wajar untuk tanya ini, timbalan pendakwa raya meletakkan cadangan dalam fikiran saksi," kata Kamarul Hisham.

"Kami bantah, kerana ia mencadangkan dikawal (oleh Najib)."

Ishak kemudian beralih kepada soalan lain.


11 pagi: Bekas Pengarah SRC International, Suboh Md Yassin berkata beliau tidak tahu mengapa beliau perlu menandatangani arahan pemindahan AmBank sebanyak RM5 juta kepada anak syarikat SRC, Gandingan Mentari Sdn Bhd.

Suboh (gambar) memberitahu mahkamah beliau hanya mengikut arahan daripada (bekas) ketua pegawai eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil ketika menadatanginya pada 5 Februari 2015.

Ketika pemeriksaan utama dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff, Suboh memberi keterangan bahawa Nik Faisal menandatangani surat itu terlebih dahulu sebelum diberi kepadanya.

Ishak: Tengok ini, kamu adalah pengarah bagi kedua-dua SRC International dan Gandingan Mentari. Bolehkah kamu jelaskan mengapa kamu menandatangani dokumen ini?

Suboh: Saya diberitahu, saya diminta oleh Nik Faisal untuk menandatanganinya.

Ishak: Jadi kamu hanya ikut (permintaan dari Nik Faisal)?

Suboh: (Ya) Saya ikut.


10.55 pagi: Bekas pengarah SRC International, Suboh Md Yassin memberi keterangan bahawa (bekas) Ketua Pegawai Eksekutif syarikat Nik Faisal Ariff Kamil menghubunginya dari Shanghai China, pada tahun 2015.

Saksi ke-42 itu mengatakan perkara itu diketahuinya berdasarkan apa yang dilihatnya dalam telefon pintar apabila Nik Faisal menghubunginya selepas Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lepas.

"Berdasarkan telefon, ia dari luar negara, dari Shanghai jika saya tidak silap," katanya kepada Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff.


10.35 pagi: Bekas pengarah SRC International Ismee Ismail memberitahu mahkamah bahawa syarikat itu melantik Ihsan Perdana Sdn Bhd sebagai rakan kongsi tanggungjawab sosial korporat (CSR) pada tahun 2014 walaupun tanpa resolusi daripada pengarah.

Suboh berkata, beliau bersetuju menandatangani surat tersebut untuk melantik IPSB bertarikh 3 September 2014 selepas diberi panduan oleh (bekas) CEO SRC International Nik Faisal Ariff Kamil.

Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff, saksi pendakwaan ke-42 itu berkata Nik Faisal memberitahunya bahawa syarikat itu mahu melaksanakan CSR dan "orang atas" bersetuju.

"Tiada keraguan dalam fikiran saya, apabila beliau merujuk kepada orang atas, beliau merujuk kepada Datuk Seri Najib," kata Suboh.

Ismee kemudian memberitahu mahkamah bahawa pelantikan IPSB ditandatangani pada tahun 2015 ketika beliau berada di Bangkok.


10.27 pagi: Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali menolak permohonan peguam Muhammad Shafee Abdullah untuk menangguhkan perbicaraan hari ini supaya Najib dapat hadir ke persidangan parlimen.

Dalam keputusan ringkasnya, Nazlan mengatakan tidak ada kepastian anggota parlimen akan mengundi terhadap rang undang-undang tertentu apabila Shafee berhujah adalah penting bagi Najib menghadiri Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum itu, Shafee memohon prosiding hari ini ditangguhkan kerana anak guamnya perlu hadir di Dewan Rakyat untuk mengundi pada dua RUU yang mewajibkan semua anggota mewajibkan anggota parlimen untuk mengisytiharkan aset mereka dan menurunkan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

"Saya menentang permohonan untuk penangguhan, kerana parlimen akan bersidang selama beberapa minggu. Ia tidak tentu bila akan ada undi (terhadap RUU berkenaan).

"Ia bukan isu mahkamah menghalang tertuduh daripada menghadiri parlimen.

"Perkara yang penting ialah anggota parlimen yang dituduh juga menghadapi tujuh pertuduhan (yang merupakan perkara utama dalam perbicaraan hari ini).

"Saya menolak permohonan untuk penangguhan," kata Nazlan ketika membuat keputusan.

Bekas pengarah SRC International Suboh Md Yassin kemudian menyambung keterangan dalam pemeriksaan utama yang dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff.


9.45 pagi: Perbicaraan bermula dengan peguam utama Muhammad Shafee Abdullah memohon mahkamah menangguhkan pendengaran hari ini.

Shafee memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya Najib Razak perlu menghadiri persidangan parlimen ini, dengan menyebut mengenai usul penting yang akan dibahaskan di parlimen hari ini.

Beliau merujuk kepada usul mewajibkan pengisytiharan harta bagi semua anggota Parlimen, yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada jam 10 pagi hari ini.

9.44 pagi: Najib Razak memasuki kandang tertuduh apabila perbicaraan bermula.

Turut kelihatan di mahkamah ialah Peguam Negara, Tommy Thomas yang mengetuai pihak pendakwaan.

9.38 pagi: Dengan memakai sut hitam, bekas pengarah SRC International Suboh Md Yassin memasuki mahkamah dari bilik saksi.

Berjalan dengan menggunakan tongkat, beliau dilihat dibantu oleh timbalan pendakwa raya ketika memasuki kandang saksi untuk memberikan keterangan  dalam pemeriksaan utama yang dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff.

Difahamkan prosiding bermula agak lewat kerana salah seorang peguam, Harvinderjit Singh, mempunyai satu lagi kes di mahkamah berasingan.


9 pagi:  Bekas perdana menteri Najib Razak masuk ke mahkamah dan duduk di galeri awam sementara menunggu perbicaraan bermula.

Beliau dilihat berbincang dengan peguam utama Muhammad Shafee Abdullah.


Siapakah di belakang individu tidak dikenali yang memperkenalkan dirinya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang kemudian mengarahkan bekas pengarah SRC International Suboh Md Yassin melarikan diri ke Thailand kerana bimbang dengan perdana menteri, Najib Razak pada 2015?

Siapakah individu tidak dikenali yang bukan sahaja menguruskan penerbangan Suboh dan isterinya dari Bangkok ke Abu Dhabi, UAE tetapi juga membayar seminggu penginapan di Rosewood Hotel di negara Timur Tengah?

Ini adalah antara keterangan penting diberikan saksi ke-42 yang mungkin akan ditanya semula oleh pihak pendakwaan dan pasukan pembelaan Najib pada hari ke-30 perbicaraan berhubung penyelewengan dana RM42 juta SRC International.

Apabila prosiding disambung semula di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada jam 9 pagi ini, Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff dijangka meneruskan pemeriksaan utama terhadap Suboh.

Ketika mahkamah bersidang pada 20 Jun, Suboh membuat kejutan apabila memberitahu dia melarikan diri dari Malaysia, dan tinggal di luar negara selama tiga tahun, sebelum kembali ke tanah air selepas Pilihan Raya umum ke-14 tahun lepas.

Saksi utama dalam perbicaraan itu mungkin terus disiasat oleh pihak pendakwaan dan pasukan pembelaan terhadap keterangan bahawa beliau tidak memainkan peranan membuat keputusan dalam SRC International dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Nik Faisal Ariff Kamil mengawal keadaan dengan mendapat lampu hijau daripada Najib selaku penasihat emeritus.