Skip to main
Logo Malaysiakini

Pindaan APA 2012 buang istilah 'demonstrasi jalanan'

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

PARLIMEN | Pindaan ke atas Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 yang dibentangkan bagi bacaan pertama di Dewan Rakyat hari ini bererti demonstrasi jalanan bukan lagi satu kesalahan.

Ia selari dengan janji kerajaan untuk mereformasikan undang-undang.

Antara perkara yang dicadangkan adalah agar istilah "bantahan jalanan" atau "demonstrasi jalanan" dipadam seperti yang dinyatakan di bawah akta itu.

Istilah "demonstrasi jalanan"di bawah Seksyen 3 akta itu dinyatakan sebagai perhimpunan yang melibatkan perarakan untuk membantah atau menyokong sesuatu.

Sekiranya pindaan terbaru itu diluluskan, perhimpunan yang melibatkan perarakan dari satu tempat ke tempat lain akan dibenarkan.

Rang undang-undang (RUU) itu akan dibahaskan dalam sesi parlimen yang bermula hari ini dan akan tamat pada 18 Julai.

Antara perubahan utama dalam RUU itu adalah seperti berikut:

1. Perarakan awam bukan lagi kesalahan

Ketika ini, Fasal 4(1)(c) APA 2012 menyatakan bahawa hak hak untuk menganjur atau menyertai perhimpunan secara aman dan tanpa senjata tidak terpakai kepada "bantahan jalanan".

Selain itu, Seksyen 4(2)(c) menetapkan adalah satu kesalahan bagi mana-mana individu untu menyertai "bantahan jalanan" seperti ditakrifkan pada Seksyen 3.

Dengan pindaan untuk mengeluarkan istilah "bantahan jalanan", penyertaan dalam perhimpunan yang melibatkan perarakan tidak lagi merupakan kesalahan.

2. Tempoh beri notis, bantahan, dan rayuan yang lebih singkat

Ketika ini, penganjur himpunan perlu memberi notis 10 hari sebelum perhimpunan kepada polis untuk memaklumkan tempat perhimpunan. Notis itu juga perlu disertakan dengan salinan kebenaran daripada pemilik tempat perhimpunan diadakan, jika ada.

Dengan pindaan yang dicadangkan kepada Seksyen 9(1) akta itu, tempoh untuk menyerahkan notis disingkatkan kepada tujuh hari sebelum perhimpunan.

Ketika menerima notis, polis dibenarkan untuk menetapkan syarat tertentu bagi tujuan keselamatan, selain melindungi hak dan kebebasan individu lain.

Akta itu ketika ini menyatakan bahawa penganjur yang tidak bersetuju dengan larangan dan syarat di bawah Seksyen 15 boleh menyerahkan rayuan kepada kementerian dalam tempoh 48 jam.

Di bawah pindaan yang dicadangkan kepada Seksyen 16 (1), tempoh untuk membuat rayuan disingkatkan kepada 24 jam.

Polis juga perlu dimaklumkan sebarang bantahan terhadap perhimpunan dalam tempoh 24 jam selepas menerima notis penganjur melalui pindaan pada Seksyen 12(2).

3. Kesalahan di bawah akta boleh didenda

RUU APA (Pindaan) 2019 juga memasukkan seksyen baru iaitu Seksyen 21A berhubung kuasa polis untuk mengambil tindakan terhadap penganjur atau peserta perhimpunan.

Peruntukan baru membolehkan polis - selepas menerima arahan bertulis daripada timbalan pendakwa raya - untuk mendenda penganjur atau peserta maksimum RM5,000 bagi sebarang kesalahan di bawah Seksyen 9 atau Seksyen 15 akta itu.

Menurut RUU itu, polis diberikan kuasa untuk menulis surat denda pada bila-bila masa selepas kesalahan dilakukan.

Bagaimanapun, denda itu perlu dikemukakan sebelum dakwaan rasmi. Sekiranya gagal membayar denda seperti dinyatakan, penganjur atau peserta boleh didakwa.

APA 2012 pertama kali digubal untuk menggantikan Seksyen 27 Akta Polis 1967 yang mengenepikan ketetapan untuk mewajibkan permit polis bagi perhimpunan awam.

[Baca berita asal]