Skip to main
Logo Malaysiakini

C4: Syarikat Ku Nan ada kaitan dengan projek Taman Rimba Kiara

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Syarikat yang didakwa digunakan bekas menteri wilayah Tengku Adnan Tengku mansor untuk dakwaan menerima rasuah daripada pemaju memiliki kaitan dengan projek pembangunan kontroversi Taman Rimba Kiara, menurut carian terhadap pegangan saham syarikat itu.

Tengku Adnan kini dibicara untuk dakwaan menerima rasuah RM3 juta daripada dua pemaju melalui Tadmansori Holdings di mana beliau menjadi pemegang saham utama.

Siasatan oleh NGO C4 mendapati Tadmansori turut berkaitan denga projek pembangunan Taman Rimba Kiara, membangkitkan dakwaan konflik kepentingan, memandangkan Adnan merupakan menteri wilayah ketika ia diluluskan.

Hari ini C4 berkata pihaknya akan menyerahkan sejumlah dokumen berkaitan dakwaan konflik kepentingan itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut.

Pengarah C4 Cynthia Gabriel membangkitkan aturan masa pelantikan pengarah dan pergerakan pegangan saham antara Tadmansori Holdings dan syarikat lain yang berkaitan dengan projek itu.

Katanya ia boleh dikesan bermula 2013 - membangkitkan persoalan mengapa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak meneliti dakwaan konflik kepentingan sebelum projek diluluskan pada 2017.

Cynthia Gabriel

C4 berkata penelitiannya menunjukkan kaitan dapat dilihat pada pemilikan Tadmansori dalam satu lagi projek, iaitu Pavilion Genting Highlands.

"Adakah pergerakan ini...bersamaan dengan habuan yang diambil dan diterima oleh seorang penjawat awam?" soal Gabriel.

Menurut C4, rekod awam menunjukkan Tadmansori turut memiliki 20 peratus pegangan dalam Sering Manis, syarikat projek untuk Pavilion Genting Highlands.

Pavilion Genting Highlands adalah projek pembangunan yang berkaitan dengan Desmond Lim, individu di belakang projek mewah yang menggunakan nama Pavilion dan Pavilion Real Estate Investment Trust.

Ia dibangunkan di tanah seluas 280 ekar di Bentong. Tanah itu dibeli daripada Panji Selera, syarikat milik anak Daim Zainuddin.

Antara projek Pavilion termasuklah Pavilion Taman Tun yang akan dibina di tanah Taman Rimba Kiara.

Syarikat Lim, Malton Bhd memiliki 51 peratus pegangan dalam Memang Perkasa, syarikat yang turut terlibat dalam projek Taman Rimba Kiara/Pavilion Taman Tun bersama-sama pemilik tanah, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).

Pengerusi YWP ialah menteri wilayah persekutuan.

Pemilikan dalam Memang Perkasa menghubungkan projek Taman Rimba Kiara/Pavilion Taman Tun dengan Tadmansori.

Tadmansori memiliki pegangan dalam projek Pavilion Genting Highlands melalui pemilikannya dalam Dataran Hartajaya.

Sebuah lagi syarikat yang memiliki pegangan dalam Dataran Hartajaya ialah Aman Ikhtisas. Salah seorang pemegang saham dalam Aman Ikhtisas ialah individu bernama Rosmanira Jusoh.

Rosmanira merupakan pengarah Memang Perkasa sebelum meletakkan jawatan pada Januari 2016, selepas Malton Group membeli 51 peratus saham syarikat itu.

Baki 41 peratus masih dimiliki syarikat bernama Tegap Dinamik. Rosmanira memiliki 30 peratus saham dalam syarikat itu.

Tengku Daud Shah (anak Tengku Adnan) dan Tengku Rethwan (adik Tengku Adnan) dilantik sebagai pengarah Dataran Hartajaya pada April 2017, dua bulan selepas Memang Perkasa menerima kebenaran merancang untuk membangunkan Pavilion Taman Tun di Taman Rimba Kiara.

Malaysiakini telah menghubungi Tengku Adnan untuk mengulas perkara ini.

Walaupun menerima bantahan keras daripada penduduk sekitar, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad berkata kerajaan hanya boleh mengecilkan skala projek Pavilion Taman Tun, kerana perlu membayar pampasan RM200 juta jika membatalkannya.

Menurut perancangan asal, projek itu melibatkan lapan blok apartment mewah (42 hingga 54 tingkat, 2,277 unit) dan sebuah blok 29 tingkat menempatkan 350 perumahan mampu milik sebagai pampasan untuk penduduk rumah panjang yang terletak di tanah projek.

"Kerumitan dalam pemindahan tanah dan pemilikan sangat menakutkan, ia menunjukkan hubungan antara perniagaan dan politik.

"Dengan ikrar PH untuk menangani rasuah yang telah berakar, C4 menggesa langkah segera diambil untuk pemantauan dan kawalan yang lebih hebat dalam penjualan aset kerajaan," kata Gabriel.