Skip to main
Logo Malaysiakini

Kembalinya Zahid tanda Umno belum mantap, kata Anwar

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Presiden PKR Anwar Ibrahim melihat kembalinya Ahmad Zahid Hamidi menggalas tugas presiden Umno sebagai tanda parti itu belum mantap.

"Saya bukan ahli Umno, sudah lama. Itu (Zahid kembali aktif memimpin Umno) keputusan dalaman Umno. Saya rasa keputusan itu menunjukkan Umno belum mantap," katanya yang suatu ketika dulu merupakan orang nombor dua parti Melayu itu.

"Maknanya apa yang diserahkan dulu (penyerahan tugas kepada timbalan presiden Mohamad Hasan) tidak mendapat dokongan. Bagi saya ia (perkembangan itu) tidak menunjukkan kekuatan Umno," katanya lagi dalam sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, hari ini.

Anwar berkata keputusan itu tidak akan menjejaskan Pakatan Harapan (PH).

Beliau diminta mengulas berkenaan pengumuman Zahid berkenaan perkara itu pada 30 Jun lalu selepas bercuti lebih enam bulan sejak Disember 2018.

Zahid menyerahkan tugas presiden kepada Mohamad pada 18 Disember lalu ketika didesak meletakkan jawatan berikutan tindakan beberapa anggota parlimen Umno keluar parti.

Kepimpinan Zahid ketika itu juga dikritik sebagai gagal menunjukkan hala tuju parti selepas tewas buat pertama kali dalam pilihan raya umum.