Skip to main
Logo Malaysiakini

Pengusaha S'wak, 3 yang lain cabar saman 1MDB

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Ahli Perniagaan Sarawak Bustari Yusof, yang digambarkan sebagai kenalan rapat bekas perdana menteri Najib Razak, dan tiga yang lain akan mencabar kaedah permulaan saman yang berkaitan dengan 1MDB terhadap mereka.

Bustari yang merupakan saudara kepada bekas menteri kerja raya Fadillah Yusof, pemborong tekstil Jakel Trading, agensi media antarabangsa Mediaedge CIA Malaysia Sdn Bhd dan Yayasan PBAKM (Persatuan Bekas Anggota Kemas Malaysia) mendedahkan perkara itu semasa pengurusan kes di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Collin Lawrence Sequerah pagi ini.

Saman pelucutan hak terhadap Bustari menuntut pemulangan lebih dari RM11.9 juta, sementara tindakan undang-undang terhadap Jakel Trading dan Yayasan PBAKM masing-masing dituntut pulangkan RM628,314 dan RM100,000.

Mereka membangkitkan perkara itu melalui peguam masing-masing: Bustari menerusi peguamnya, Kamarul Hisham Kamaruddin, Jakel Trading melalui Habizan Rahman, Mediaedge CIA melalui Guek Ngek Seong dan Yayasan PBAKM menerusi Adaly Ab Manas.

Semasa prosiding terbuka, Kamarul Hisham memaklumkan kepada mahkamah bahawa bantahan anak guamnya terhadap cara yang difailkan saman itu hendaklah didengar terlebih dahulu sebelum sebarang notis pemberitahuan bagi pihak ketiga yang mempunyai kepentingan dalam perkara itu boleh dilakukan.

"Kami hanya mencabar cara permulaan (kes saman berkaitan dengan 1MDB) melalui afidavit dan notis usul, yang secara fakta boleh dipertikaikan, " kata Kamarul Hisham.

Peguam untuk Jakel Trading, Mediaedge CIA, dan Yayasan PBAKM mengguna pakai garis bantahan yang sama.

Sequerah kemudian menetapkan 30 Julai untuk mendengar bantahan oleh mereka.

Selain itu, pengurusan kes hari ini adalah saman pelucutan hak berkaitan 1MDB terhadap Umno Selangor, Umno Johor, Parti Demokrat Liberal (LDP) Sabah, ahli politik Umno Sabah Kasitah Gaddam dan Yayasan Permata Malaysia.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Nik Haslinie Hashim memaklumkan kepada mahkamah bahawa kertas kerja telah disampaikan kepada sembilan responden pada akhir bulan Jun, dan membuat permohonan di bawah Seksyen 61 (2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) untuk tarikh notis pewartaan kepada pihak ketiga yang mempunyai kepentingan dalam perkara tersebut.

Mengikut Seksyen 61 (2) akta itu, notis berkenaan hendaklah disiarkan dalam warta untuk menyeru mana-mana pihak ketiga yang mendakwa mempunyai kepentingan dalam harta itu, untuk hadir di hadapan mahkamah pada tarikh yang dinyatakan dalam notis itu, dan menunjukkan sebab mengapa harta itu tidak dilucuthakkan.

Umno Selangor diwakili peguam Haslina Lily, manakala Kasitah mewakili dirinya semasa prosiding hari ini.Umno Johor, LDP dan Yayasan Permata Malaysia tidak diwakili peguam.

Sequerah membenarkan permohonan itu dan menetapkan 4 Sept untuk pendakwaan bagi mewartakan notis itu kepada pihak ketiga dengan kepentingan dalam kesemua sembilan guaman saman serta pengurusan kes bagi kesemuanya.

Selain Kasitah yang memilih untuk mewakili dirinya sendiri, tarikh pengurusan kes akan datang juga membolehkan responden yang tidak diwakili untuk melantik peguam.