Skip to main
Logo Malaysiakini

Sheikh Umar bakal tanding ketua Pemuda DAP Johor

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Exco Kerajaan Johor Sheikh Umar Bagharib Ali menyatakan beliau akan bertanding bagi jawatan ketua Pemuda DAP Johor dalam pemilihan yang akan diadakan pada 6 Julai.

Beliau yang kini merupakan setiausaha publisiti DAP negeri berkata, namanya sudah pun dicalonkan untuk pemilihan penggal akan datang iaitu 2020-2022.

"DAP sebuah parti yang sentisa menjunjung demokrasi. Saya akan bertanding secara sihat dan terpulang kepada anggota parti membuat pilihan," katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini dua hari lalu.

Setakat ini seorang lagi yang sudah mengesahkan untuk merebut jawatan itu ialah Ahli Majlis Perbandaran Kulai Marina Ibrahim.

Antara matlamat Sheikh Umar jika menang dalam pemilihan kali ini ialah membangunkan sayap Pemuda DAP serta meningkatkan kerjasama antara pemuda parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang lain di negeri itu.

"Jika ada rezeki menang, pakej yang ingin saya bawa ialah pembangunan sayap Pemuda dan DAP Johor.

"Kita kena menyatukan semua Pemuda PH Johor, selaras dengan portfolio saya sebagai exco belia dan sukan. Kita perlu menjadi pemangkin keseluruhan belia-belia dan anak muda negeri," katanya lagi.

Menurut Sheikh Umar, antara masalah yang dilihatnya berkaitan gerakan belia di Johor ialah kurangnya pertubuhan yang berdaftar dengan Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

Beliau berkata menyedari perkara itu apabila berjumpa dengan jabatan belia dan sukan dan agensi berkaitan, selepas ditukar portfolio daripada Penerangan, Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Ekonomi Kreatif kepada Belia dan Sukan, Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi.

"Dahulu kita banyak bergantung kepada majlis belia untuk menggerakkan aktviti anak muda," katanya.

Kurang 100 hari memegang portfolio itu, katanya lagi, beliau menyedari hanya 20 hingga 30 peratus anak muda Johor yang giat berpersatuan terlibat dengan persatuan yang berdaftar dengan ROY, manakala majoritinya bersama dengan persatuan yang tidak berdaftar dengan jabatan itu.

Jelajah jumpa belia Johor

Katanya, sebarang program KBS tidak akan memberi manfaat sepenuhnya jika perkara itu tidak diubah.

"Maka 70-80 peratus belia (yang aktif dengan persatuan yang tidak berdaftar) ini perlu didekati agar kita faham kehendak dan selera mereka," katanya lagi.

Justeru, beliau merancang untuk mengadakan jelajah ke setiap daerah di Johor bermula Ogos sehingga Oktober untuk bertemu mereka.

"Mereka ada yang bersifat individu dan ada juga cenderung kolektif. Kita beri ruang untuk mereka suarakan pandangan mereka," katanya lagi.

Beliau berkata jelajah itu akan turut mengundang agensi kerajaan pusat seperti KBS dan GLC seperti Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).

"Kita juga sedang merancang membawa perdana menteri ketika kemuncak jelajah ini untuk meluangkan masa dengan belia," katanya lagi.