Skip to main
Logo Malaysiakini

TPM: Laporan Bank Dunia isu prestasi perkhidmatan awam tak adil

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail membidas laporan Bank Dunia yang menyatakan bahawa prestasi perkhidmatan awam sedang mengalami kemerosotan sejak 2014.

Katanya, perbandingan yang dilakukan dalam laporan oleh Bank Dunia itu adalah "tidak adil", memandangkan saiz perkhidmatan awam di Malaysia turut merangkumi badan beruniform.

“Saya rasa, itulah sebab kita menganjurkan mesyuarat atau persidangan seperti ini, untuk menaik taraf (tentang) apa yang boleh kita tawarkan.

“Perkhidmatan awam ini terdiri daripada apa? Ia termasuk sekali dengan badan beruniform. Jika asingkan mereka ini, saya rasa populasi perkhidmatan awam kita tak adalah teruk sangat.

“(Jadi) Secara perbandingannya, saya rasa tak adil jika dikatakan prestasi mereka tak bagus,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Penjawat Awam ke-18 di Institut Tadbiran Awam (Intan) Bukit Kiara, Kuala Lumpur hari ini.

Wan Azizah dipercayai merujuk kepada laporan tersebut yang membangkitkan kebimbangan terhadap kelangsungan pembayararan gaji terhadap perkhidmatan awam yang bersaiz besar di Malaysia.

Untuk rekod, berbeza dengan kelaziman di negara-negara lain, badan beruniform seperti polis, tentera dan bomba turut dianggap sebagai penjawat awam di Malaysia.

Bank Dunia turut meletakkan Malaysia di tahap rendah dalam aspek kebolehtanggungjawaban, ketelusan, keterbukaan dan sikap tidak berpihak dalam melaksanakan tugas.

Menurut pakar sektor awamnya, Rajni Bajpai, terdapat jurang besar yang dipamerkan prestasi perkhidmatan awam di Malaysia dengan negara-negara Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), meskipun prestasinya berada pada tahap baik berbanding negara serantaunya.

Mengulas lanjut, Wan Azizah turut meluahkan penghargaan kepada penjawat awam yang menurutnya berjasa dalam membawa Malaysia ke tahap sekarang.

“Saya rasa, kita berhutang dengan perkhidmatan awam, (mereka) telah bawa negara kita ke tahap ini,” katanya lagi.

Semalam, pejabat Ketua Setiausaha Negara turut mengeluarkan kenyataan bagi menjawab laporan tersebut, dengan berkata kerajaan akan terus memperkukuh perkhidmatan awam bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dan produktiviti negara.