Skip to main
Logo Malaysiakini

'Sekarang tiada komunis'- Shahidan cabar PAA dimansuh, bukan pinda

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Anggota Parlimen Arau, Shahidan Kassim menggesa kerajaan memansuhkan Akta Perhimpunan Aman (PAA) dan bukan memindanya di parlimen.

"Suara rakyat hari ni mahu supaya PAA dimansuhkan, rakyat boleh menunjukkan rasa dengan cara bebas," kata Shahidan Kassim (BN-Arau) ketika perbahasan rang undang-undang berkenaan di peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata  sebarang rumusan atau penghapusan undang-undang perlu dilakukan mengikut keadaan negara.

"Dulu masa darurat, ada komunis, ada kita kenakan Akta Keselamatan Dalam Negeri. Sebab dulu banyak orang nakal, bersifat komunis, jahat. Ini (sebab) kita bawa akta, masa zaman kami, akta berdasarkan zaman, opposition ada sikit hangat, maka kita buat akta itu.

"Sekarang semua elok. Sekarang dah semua elok, kita buat Malaysia Baru, mansuh terus," sindir Shahidan.

Shahidan mempersoalkan keperluan membahaskan rang undang-undang berkenaan yang hanya mencadangkan perubahan kecil, termasuk mengurangkan notis 10 hari kepada polis kerana mengadakan perhimpunan kepada tujuh hari.

Beliau turut mempersenda usaha kerajaan menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun tetapi hanya membenarkan individu berusia 21 tahun menganjurkan perhimpunan di bawah PAA.

"Ini benda kita buat orang akan gelak kita," katanya menggesa kerajaan memansuhkan rang undang-undang berkanan semasa peringkat jawatankuasa (bacaan kali ketiga).

Shahidan menambah kerajaan harus membebaskan rakyat daripada rang undang-undang berkenaan kerana semakin banyak sekatan dikenakan kerajaan, semakin ramai akan cuba melanggar undang-undang.

Pada 1 Julai lalu, kerajaan berusaha meminda Rang Undang-undang Perhimpunan Aman sebagai sebahagian daripada pembaharuan undang-undang yang dijanjikan kerajaan.

[Baca berita penuh]