Skip to main
Logo Malaysiakini

Henti guna ungkapan Bangsa Johor, kata Hassan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Disebabkan Malaysia ialah sebuah negara persekutuan, penggunaan terma Bangsa Johor perlu dihentikan serta-merta, kata Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Hubungan Antara Negeri dan Persekutuan, Hassan Abdul Karim.

Kata Hassan penggunaan ungkapan itu tidak sesuai dengan keadaan negara ini.

Bahkan, katanya, orang Johor sendiri tidak boleh taasub dengan terma berkenaan kerana ia bersifat kenegerian, bukan nasional.

“Negeri harus mengutamakan kesatuan Malaysia.

“Jadi tak boleh taasub, tak boleh obses, tak boleh bersikap kenegerian... itu tidak sihat," katanya.

Malah Hassan berkata beliau sendiri anak Johor dan bangga dengan keadaan itu namun pada masa sama mendukung persekutuan Malaysia.

Hassan yang juga anggota parlimen Pasir Gudang berkata demikian kepada media di lobi parlimen hari ini.

Tak ada kesatuan sampai sudah

Mengulas lanjut, Hassan berkata, Johor hanya satu daripada negeri yang ada dalam Malaysia. Selain Johor, katanya, ada 13 lagi negeri lain yang membentuk Malaysia.

“Kita ada orang Melayu, kita ada orang Cina, kita ada orang Iban, kita ada orang Kadazan, kita ada orang India - maka kita semua adalah Bangsa Malaysia, itu pendirian saya," katanya.

Pengerusi PKR Johor itu juga menegaskan semua pihak mesti menggalakkan pembentukan Bangsa Malaysia.

"Kalau ada Bangsa Johor, ada (pula) Bangsa Kedah, ada Bangsa Sarawak ada Bangsa Terengagnu... sampai bila (pun) kita tak ada kesatuan," katanya yang mengambil contoh Indonesia yang bersatu walaupun memiliki ratusan ribu pulau dan suku kaum.


Baca Jadi MB kena berani sikit, pesan Muhyiddin


Dalam pada itu, mengulas kenyatannya yang disifatkan bertentangan dengan istana, Hassan berkata, beliau terpaksa menyatakan perkara yang benar walaupun mungkin tidak disenangi pihak tertentu.

“Saya faham, maknanya saya juga kena berhati-hati.

"Saya hormati institusi sultan dan tapi saya terpaksa menyatakan yang benar dari segi politik, antropologi, sosiologi, iaitu kena terima hakikat negara kita negara persekutuan.

"Johor maknanya, kita sebut orang Johor, orang Kedah, anak Johor, jadi tak boleh Bangsa Johor... salah," katanya.

Sebagai anggota parlimen yang dipilih rakyat, kata Hassan, beliau perlu memikirkan kepentingan negara melebihi semangat kedaerahan atau kenegerian.

Gambar hiasan

“Konsep itu (Bangsa Johor) digunakan pada tahun 20-an. Ia bermula daripada nenek moyang sultan Johor yang ada sekarang. Saya menghormati, bukan nak ungkit-ungkit,” jelasnya.

Hassan juga sedia menerima kritikan susulan kenyataannya itu dan pada masa sama, menghormati hak kebebasan bersuara seseorang.

“Berbeza pandangan tidak mengapa, mereka boleh berdebat dan berbahas. Ahli budaya dan akademik boleh juga bahaskan perkara ini,” katanya.

Hassan sebelum ini dilaporkan berkata, penggunaan istilah Bangsa Johor bertentangan dengan perpaduan nasional kerana hanya ada satu bangsa dalam negara ini, iaitu Bangsa Malaysia dan seterusnya mengingatkan bahawa Johor adalah satu negeri dalam Persekutuan Malaysia.