Skip to main
Logo Malaysiakini

Internet YTL: 'Fasa 2 macam motor, fasa 1 macam basikal'

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kementerian Pendidikan menafikan menamatkan kontrak YTL Communications Sdn Bhd dalam menyediakan perkhidmatan internet untuk sekolah.

Dalam sidang akhbar hari ini, Ketua Pengarah kementerian, Mohd Gazali Abas berkata kedua-dua fasa kontrak YTL bernilai RM3.8 bilion berakhir pada 30 Jun.

Katanya, pihak kementerian mahu melibatkan pemain industri terbaik untuk menyediakan perkhidmatan internet terbaik untuk para pelajar.

Beliau juga berkata YTL memilih untuk menjadi penyedia perkhidmatan sementara antara 2014 dan 2016.

Beliau menyifatkan fasa pertama dan kedua sebelum ini hanya dapat menyediakan empat megahertz yang disifatkan terlalu yang perlahan.

"Macam naik basikal (fasa 1). Kalau dengan perbandingan teknologi, fasa 2 macam naik motosikal.

"Tetapi dengan teknologi hari ini, (kita boleh melihat) dengan harga yang sama, kita boleh mempunyai (kelajuan umpama) bullet train (kereta api laju)," katanya.

Beliau juga menyifatkan bahawa YTL mengenakan caj bayaran terlampau tinggi sehingga RM19,000 bagi setiap sekolah sebulan untuk rangkaian seratnya manakala TM One berkata ia boleh mengenakan bayaran RM200 setiap sekolah sebulan untuk perkhidmatan yang sama.

Malaysiakini sudah menghubungi YTL Communications Sdn Bhd untuk mendapatkan ulasan namun ketika berita diterbitkan syarikat itu belum memberi respons.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 3 Julai, YTL berkata kerajaan telah mengupah tiga penyedia perkhidmatan internet untuk sekolah apabila syarikat itu menawarkan untuk berbuat demikian secara percuma.

YTL sebelum ini mendakwa dianugerahkan kontrak selama 15 tahun dari tahun 2011 dan fasa tiga kontraknya akan bermula pada tahun 2020.

Dalam tempoh enam bulan bermula bulan ini, Gazali berkata kementeriannya mahu mencuba penyedia perkhidmatan lain.

Beliau berkata kementerian akan memilih teknologi terbaik mengikut keupayaan kewangannya.

Pada masa ini, tiga penyedia perkhidmatan - TM One, Maxis dan Celcom Axiata - akan menyediakan perkhidmatan internet, katanya.

Menurutnya, TM One menawarkan perkhidmatan percuma selama tiga bulan.