Skip to main
Logo Malaysiakini

PSM: Kalau ikut Hadi dan Dr M, semua idea baik dari sosialis

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Menyahut kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang menyifatkan idea pengisytiharan harta sebagai idea sosialis dan komunis, Ahli Jawatankuasa Pusat PSM S Arutchelvan mengungkit beberapa idea lain yang pernah disifatkan serupa.

Jelas Arutchelvan, ia termasuklah cadangan pemansuhan tol dan penurunan harga rumah.

"Nampaknya semua yang baik itu adalah idea sosialis. Tadi presiden PAS berkata bahawa PAS tentang pengisytiharan harta kerana ia adalah idea sosialis dan komunis.

"Sebelum ini, bila nak mansuhkan tol, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kata ini datang dari ahli PH yang sosialis. Bila nak turunkan harga rumah, pengusaha hartanah kutuk cakap ini idea sosialis.

"Justeru itu, nampaknya semua idea baik ini datangnya dari sosialis. Bukan cakap saya. Cakap Abdul Hadi dan Dr Mahathir," katanya dalam kenyataan di Facebook.

Dalam wawancara Singapura Sunday Times pada 25 Mac tahun lalu, ketika mengulas tentang janji-janji manifesto PH, Dr Mahathir dikatakan mengaitkan cadangan pemansuhan tol dengan "rakan pakatan yang sosialis" dalam PH.

"Kadang-kadang saya rasa mungkin kita tidak dapat menunaikan janji-janji (manifesto) ini. Parti kami, rakan pakatan kami, mereka sangat sosialis. Mereka suka memberi kepada rakyat.

"Saya beritahu mereka itu tidak boleh. Mahu mansuhkan semua tol? Saya cakap, kita perlu baiki jalan. Kita perlu buat lebih banyak jalan.

"Dari mana nak dapat duit kalau mahu bina jalan ini sendiri? Tapi mereka mahu populariti, jadi mereka cenderung berjanji seperti ini," kata Dr Mahathir dalam wawancara itu.

 

Arutchelvan membuat analogi itu selepas Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menyifatkan idea pengisytiharan harta sebagai konsep ataupun idea komunis dan sosialis.

Abdul Hadi berkata, dalam konteks negara ini, cadangan untuk mengisytiharkan harta dibayangi oleh pengaruh DAP dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH).

"Isytihar harta secara umumnya teori komunis dan sosialis. Mungkin dibayangi DAP yang mempengaruhi kerajaan kita hari ini.

"Sosialis ini dia kononnya hendak menghadkan kekayaan, ternyata negara-negara sosialis yang bertukar liberal, pemimpin sosialis itu paling kaya sekali," katanya ketika sidang media di Rusila, Marang, hari ini.

Kenyataan Abdul Hadi itu hadir selepas Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berpendapat bahawa pengisytiharan harta akan menjejaskan keselamatan harta dan individu tersebut, di samping akan menimbulkan rasa dengki terhadap pihak lain.

Dewan Rakyat pada Isnin lalu meluluskan usul untuk mewajibkan anggota parlimen mengisytiharkan harta masing-masing selepas tiada bantahan dibuat semasa undian.

Rang undang-undang itu diterima walaupun sebelumnya pembangkang bangkit berbahas untuk menolaknya. Antara lain mereka mendakwa usul itu tidak selari dengan peraturan dewan.