Johan: Umno jual saham Media Prima langkah tepat
Bekas pengerusi Media Prima Bhd Johan Jaaffar menyifatkan keputusan Umno untuk menjual kepentingannya dalam konglomerat media itu adalah langkah tepat.
Beliau berkata media selepas PRU ke-14 menikmati kebebasan yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan ia perlu kekal demikian.
"Umno sendiri merasakan tidak munasabah lagi memegang saham minoriti dalam sebuah syarikat yang mereka tidak boleh pengaruhi pengurusan dan editorial.
"Kita memerlukan media yang bebas tetapi bertanggungjawab. Kebebasan media sangat penting untuk negara kita.
"Umno melakukan perkara yang betul apabila melepaskan kepentingannya (dalam Media Prima)," katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini hari ini.
Pada 3 Julai lalu, Umno dilapor menjual 11.09 peratus pegangannya dalam Media Prima Bhd menerusi Gabungan Kesturi Sdn Bhd kepada tokoh perniagaan Syed Mokhtar Al-Bukhary.
Susulan penjualan itu, beliau menjadi pemegang saham terbesar dengan 19.5 peratus saham dianggarkan bernilai RM126 juta.
Bekas presiden Umno Najib Razak berkata langkah itu memang perlu dilakukan kerana Media Prima tidak lagi mesra atau berada dalam kawalan parti itu.
Pada masa sama Johan yang merupakan wartawan veteran tetap mempersoalkan penjualan saham itu kepada Syed Mokhtar.
"Parti politik selepas PRU ke-14 patut menjauhkan diri daripada syarikat media. Pada masa sama, tiada siapa yang patut menjadi proksi (fronting) untuk tujuan itu.
"Dalam kes sesiapa saja di belakang pembelian saham Umno dalam Media Prima, urus niaga itu membangkitkan persoalan," katanya.
Beliau berkata pembelian saham itu seharusnya dibuat oleh pihak yang lebih berwibawa dalam hal media dan bukannya "mana-mana syarikat kroni".
Ingatan buat kerajaan
Dalam pada itu Johan mengingatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) agar berpegang kepada janji berhubung kebebasan media.
Katanya, PH perlu belajar daripada kesilapan kerajaan lalu yang bukan saja mengawal media, tetapi menggunakannya untuk kepentingan politik.
"Kita perlu mulakan perjalanan baru, bukan jalan sebelum ini sejak Umno mengambil alih Utusan Melayu pada 1961.
"Media perlu diberi jaminan untuk menjalankan tanggungjawab kepada masyarakat tanpa takut dan berat sebelah. Pada masa sama media perlu dipertanggungjawab atas tindakan mereka dan berpegang kepada peraturan dan lebih penting, kod etika yang ditetapkan," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai