Skip to main
Logo Malaysiakini

Salahuddin: Majlis Presiden PH bincang isu had umur belia Johor

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Isu had umur belia bagi Johor ada dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH semalam, kata salah seorang pemimpin kanan gabungan berkenaan hari ini.

Menurut Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub, isu berkenaan dibangkitkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, apabila Menteri Besar Johor, Dr Sahruddin Jamal, tidak sependapat dengan Putrajaya.

Bagaimanpun, kata Salahuddin, tiada sebarang keputusan diambil dalam mesyuarat tersebut.

"Saya fikir Syed Saddiq akan berbincang atau akan ada sesi minum teh dengan menteri besar (selepas ini)," katanya.

Salahuddin yang juga menteri pertanian dan industri asas tani berkata beliau difahamkan Syed Saddiq berjumpa dengan exco belia Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali sebelum mesyuarat Majlis Presiden PH itu.

Dewan Rakyat meluluskan pindaan had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun seperti termaktub dalam Akta Pertubuhan Belia dan Pebangunan Belia 2007.

Bagaimanapun semalam Pejabat Menteri Besar Johor mengeluarkan kenyataan untuk memaklumkan negeri itu akan kekal menganggap umur belia adalah sehingga 40 tahun.

Pagi tadi Sheikh Umar pula berkata, Johor memutuskan untuk menerima pindaan dibuat Putrajaya berhubung definisi belia, iaitu seseorang yang berusia di antara 15 hingga 30 tahun.

Bagaimanapun malam ini kerajaan negeri sekali lagi membuat pusingan U apabila membatalkan ketetapan pagi tadi, sebaliknya kembali mengehadkan umur belia kepada 40 tahun.

[Baca berita penuh]