K'jaan tarik balik RUU pinda MKN, had umur undi 18
Kerajaan membuat langkah di luar jangkaan hari ni apabila menarik balik Rang Undang-Undang Pindaan Majlis Keselamatan Negara 2019 (RUU MKN) yang sepatutnya dibentang pada sidang kali ini.
Ia selepas kerajaan menarik balik Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 untuk menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun untuk menambahkan beberapa perkara.
Ketika sidang Dewan Rakyat bermula hari ini, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bangun untuk memohon kepada Yang Dipertua Mohammad Ariff Md Yusof untuk menarik balik RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019.
“Tuan Yang Dipertua, menurut Peraturan Mesyuarat 62, saya mohon untuk tarik balik RUU Pindaan Perlembagaan 2019 pada hari ini," katanya.
Permohonan itu disokong oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin, sebelum beliau sendiri memohon untuk menarik balik RUU MKN.
Permohonan tersebut disokong oleh Timbalan Menteri Kerja Raya Mohd Anuar Tahir.
Pindaan Akta MKN adalah untuk menggantikan istilah "perdana menteri" dengan "Yang di-Pertuan Agong", atau "Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Majlis".
Difahamkan sebab penarikan susulan saman Presiden PKR Anwar Ibrahim agar Akta MKN diisytiharkan sebagai tidak berperlembagaan yang masih berjalan di mahkamah, serta bantahan daripada anggota parlimen PH yang mahu ia dimansuhkan - seperti dalam manifesto PRU ke-14 - dan bukan dipinda.
Berkenaan (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019, ia dijangka dibentang semula minggu depan untuk memasukkan peruntukan berkenaan pendaftaran pengundi secara automatik dan menurunkan had umur bertanding dalam pilihan raya kepada 18 tahun.
Pembangkang menetapkan dua syarat itu untuk menyokong RUU tersebut, yang memerlukan majoriti dua pertiga anggota Dewan Rakyat.
[Berita lanjut menyusul]
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai