Skip to main
Logo Malaysiakini

Redzuan nafi mahu tanding jawatan presiden Bersatu

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Anggota Majlis Tertinggi Bersatu Redzuan Md Yusof sekali lagi menolak spekulasi yang mengatakan dia akan bertanding jawatan presiden parti pada pemilihan parti itu yang akan diadakan.

"Tidak benar, saya belum membuat keputusan sama ada mahu bertanding atau tidak," katanya.

Redzuan berkata dia akan mempertimbangkan untuk bertanding jika akar umbi mahu dia berbuat demikian.

Jelasnya, sekiranya bertanding sekali pun, dia hanya akan bertanding bagi jawatan ahli Majlis Tertinggi.

Sebelum ini, terdapat spekulasi yang mengatakan Redzuan diminta oleh perdana menteri dan pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad untuk bertanding jawatan presiden, yang kini dipegang oleh Muhyiddin Yassin.

Spekulasi juga mengatakan hubungan antara kedua-dua pemimpin tertinggi Bersatu itu tidak lagi sedekat sebelum ini.

Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir sebelum ini mendakwa akar umbi mahu tiga jawatan tertinggi tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti akan datang.

Bersatu ditubuhkan sebagai parti serpihan Umno pada Sept 2016 dan seterusnya menyertai gabungan PH yang merupakan pembangkang ketika itu.

Di bawah perlembagaan parti itu, Bersatu perlu mengadakan pemilihan parti dalam tempoh tiga tahun.

Dr Mahathir sebelum ini berkata Bersatu tidak akan menangguhkan pemilihan parti.