Hari ke-39: Saksi tak tahu komunikasi Najib dengan bekas CEO KWAP
LANGSUNG | Perbicaraan bekas perdana menteri Najib Razak berkenaan dakwaan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd masuk hari ke-39 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Malaysiakini membawakan laporan langsung perbicaraan.
Prosiding esok mula lambat, Najib ada kes lain
5.03pm - Prosiding berakhir buat hari ini dan pemeriksaan balas terhadap bekas pengarah urusan AmBank Cheah Tek Kuang akan bersambung esok.
Bagaimanapun, prosiding esok tidak akan bermula pada jam 9 pagi kerana Najib Razak dan peguam bela utamanya akan menghadiri urusan mahkamah yang lain di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Collin Lawrence Sequerah berkaitan perbicaraan kes 1MDB.
Saksi tak tahu komunikasi Najib dengan bekas CEO KWAP
4.33pm - Bekas pengarah urusan AmBank dan anggota panel Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) Cheah Tek Kuang memberi kerterangan beliau tidak tahu sekiranya terdapat sebarang komunikasi antara bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Azian Md Noh dan bekas perdana menteri Najib Razak.
Cheah berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam Farhan Read.
Farhan: Adakah kamu setuju bahawa komunikasi perdana menteri dengan ketua pegawai eksekutif KWAP pada ketika itu, Azian bukan arahan untuk memberi pinjaman kepada SRC International, tetapi hanya permintaan untuk memastikan proses tersebut berlangsung secepat mungkin?
Cheah: Saya tidak tahu mengenai hal itu. Bergantung, kadang-kadang mereka memberitahu saya, kadangkala mereka tidak (memaklumkan).
Terdahulu, saksi ke-49 itu memberi keterangan bahawa beliau ialah anggota panel pelaburan KWAP dari tahun 2007 hingga sekarang.
Bekas pengarah urusan AmBank kenal pasti Jho Low
4.02 petang: Bekas pengarah urusan kumpulan AmBank Cheah Tek Kuang membuat pengecaman terhadap ahli perniagaan yang kini dalam buruan, Jho Low menerusi dua gambar.
Saksi ke-49 itu tanpa ragu membuat pengecaman ketika memegang gambar itu di kandang saksi.
Individu kelahiran Pulau Pinang itu dikatakan sebagai individu utama yang diburu pihak berkuasa untuk siasatan 1MDB yang masih berjalan.
Bekas pengarah urusan AmBank: Jho Low bawa saya masuk ke rumah Najib
3.45 petang: Bekas pengarah urusan kumpulan AmBank Cheah Tek Kuang berkata dia pergi ke kediaman peribadi Najib Razak pada pertengahan 2011 ketika bekas perdana menteri itu mahu membuka akaun di AmBank.
Di sana, katanya lagi, dia disambut oleh ahli perniagaan Low Taek Jho, atau Jho Low, yang kemudian membawanya untuk masuk dan bertemu Najib.
Katanya, Jho Low kemudian memperkenalkannya dengan Najib, sebelum dia memulakan taklimat berkenaan peraturan untuk membuka akaun bank.
Cheah berkata dia turut memberikan borang kosong dan kad kredit kepada Najib.
Pertemuan itu berjalan selama 20 minit, katanya lagi.
3.25 petang: Saksi ke-49 pendakwaan, bekas pengarah urusan AmBank, Cheah Tek Kuang, dipanggil.
3.20 petang: Bekas CEO Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) Ung Su Ling selesai memberi keterangan.
Sebelum keluar dari kandang saksi, dia memohon maaf kepada mahkamah jika ada terkasar bahasa ketika berbuat demikian.
Mahkamah berehat sebentar apabila pihak pendakwaan berkata saksi mereka yang seterusnya, seorang lelaki berusia 72 tahun, perlu ke tandas.
Bekas CEO YR1M: Najib tak lapor polis terhadap saya berkenaan pemindahan RM42 juta
3.10 petang: Bekas CEO Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) Ung Su Ling berkata dia tidak merasakan Najib Razak pernah membuat laporan polis terhadapnya kerana secara salah mengarahkan pengarah urusan Ihsan Perdana Shamsul Anwar Sulaiman untuk memindahkan RM42 juta ke akaunnya.
Dia berkata demikian ketika pemeriksaan semula dengan DPP V Sithambaram.
Terdahulu, Ung berkata setiausaha sulit Najib ketika itu, Azlin Alias mengarahkannya untuk mengarahkan Shamsul berbuat demikian antara Disember 2014 hingga Februari 2015.
Saksi jelaskan sebab padam perbualan dengan bekas pembantu Najib
2.55 petang: "Saya tak rasa ada apa-apa yang salah."
Bekas CEO Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) Ung Su Ling berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Muhammad Shafee Abdullah berkenaan mengapa dia memadam mesej antaranya dengan setiausaha sulit Najib ketika itu, Azlin Alias.
Shafee bertanya mengapa dia tidak menyimpan perbualan teksnya dengan Azlin antara akhir 2014 dan awal 2015.
Terdahulu, Ung berkata dia menerima arahan daripada Azlin melalui pesanan teks agar dia mengarahkan pengarah urusan Ihsan Perdana Shamsul Anwar Sulaiman untuk memindahkan wang berjumlah RM42 juta daripada akaun syarikat itu ke dua akaun Najib, sepanjang tempoh yang sama.
Azlin meninggal dunia pada 4 April 2015.
Hakim tegur Najib tak tepati masa
2.41 petang: Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali menegur bekas perdana menteri Najib Razak kerana lambat kembali ke mahkamah tepat pada masanya.
Ketua pasukan pembelaan Muhammad Shafee Abdullah memohon maaf dan berkata ada orang datang berjumpa dengan Najib yang menyebabkan kelewatan itu.
Dengan suara yang tenang tapi tegas, Mohd Nazlan mengingatkan Najib agar mematuhi masa perbicaraan.
"Tertuduh perlu ikut (masa). Kelambatan akan menangguhkan perbicaraan dan tidak adil untuk orang lain (di mahkamah)," katanya kepada Najib yang berada di kandang tertuduh.
Shafee kemudian meneruskan pemeriksaan balas dengan bekas CEO Yayasan Rakyat 1Malaysia Ung Su Ling.
2.39 petang: Tertuduh Najib Razak masuk ke mahkamah. Dia dilihat cepat-cepat masuk ke kandang tertuduh dan perbicaraan diteruskan.
2.33 petang: Perbicaraan dihentikan memandangkan bekas perdana menteri Najib Razak tiada di kandang tertuduh.
Selepas menunggu beberapa minit, peguamnya Harvinderjit Singh meminta sama ada perbicaraan dihentikan sekejap untuk dia pergi memeriksa anak guamnya.
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permintaan itu.
2.29 petang: Perbicaraan diteruskan.
12.51 tengah hari: Ketua pasukan pembelaan Muhammad Shafee Abdullah akan meneruskan pemeriksaan balas dengan bekas CEO Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) Ung Su Ling selepas rehat tengah hari.
Perkara itu disampaikan peguam Harvinderjit Singh kepada Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Nazlan kemudian menangguhkan perbicaraan dan akan bersambung semula pada pukul 2.20 petang nanti.
Saksi nafi dapat arahan Jho Low berkenaan transaksi RM42 juta
11.50 pagi: Bekas CEO Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) Ung Su Ling menafikan kenyataan peguam bahada dia meminta arahan daripada Jho Low berkenaan RM42 juta yang dipindahkan daripada Ihsan Perdana ke dua akaun AmBank Najib Razak.
"Tidak, saya cuba dapatkan arahan daripada Azlin (Alias, ketua setiausaha sulit Najib ketika itu," katanya kepada Harvinderjit Singh.
Harvinderjit bertanya sama ada perkataan "kawan" dalam log perbualan antaranya dengan pengurus perhubungan AmBank ketika itu, Joanna Yu, pada Februari 2015 merujuk kepada Jho Low.
Log perbualan itu berkenaan pemindahan RM10 juta daripada Ihsan Perdana kepada akaun Najib dengan nombor berakhir 880.
Terdahulu dia juga menolak kenyataan Harvinderjit bahawa log perbualan antaranya dengan Yu berkenaan pemindahan RM27 juta dan RM5 juta daripada Ihsan Perdana kepada akaun tersebut dan satu lagi akaun dengan nombor berakhir 960 pada Disember 2014, merujuk kepada Jho Low.
Pertengkaran antara peguam dengan saksi, DPP
10.40 pagi: Pertengkaran tercetus antara DPP V Sithambaran, peguam belas Harvinderjit Singh dan saksi Ung Su Ling ketika pemeriksaan balas saksi ke-48 itu dengan Harvinderjit.
Ia ketika Harvinderjit bertanya soalan kepada Un - bekas CEO Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) - berkenaan apa yang berlaku pada 2014 ketika dia mengarahkan Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB) memindahkan RM32 juta ke dua akaun AmBank Najib Razak.
Harvinderjit tampak terganggu dengan Ung apabila dia terus cuba menjelaskan jawapannya, dan tidak menyatakan sama ada dia setuju atau tidak setuju dengan apa yang diajukan Harvinderjit.
Harvinderjit meminta Ung hanya menjawab 'ya' atau 'tidak' untuk soalannya, dan kemudian menegur Ung kerana dirasakan sering memandang ke arah pasukan pendakwaan ketika menjawab soalan, bukan kepada hakim.
Ia menyebabkan Sithambaran berdiri dan menyuarakan bantahan, mempersoalkan sama ada peguam itu membayangkan pasukan pendakwaan membimbing Ung.
"Apa yang anda cuba katakan? Kami tidak beri bimbingan (coaching) kepada saksi," katanya.
"Jangan melebih," kata Sithambaran lagi.
Saksi: Najib kata transaksi RM42 juta rosakkan reputasinya
10.10 pagi: Bekas CEO Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) Ung Su Ling berkata Najib Raak pernah memberitahunya pemindahan RM42 juta ke akaun peribadinya telah merosakkan reputasinya.
Saksi ke-48 itu memberitahu peguam Harvinderjit Singh bahawa Najib memberitahu perkara itu dalam satu pertemuan pada 2015, susulan laporan Wall Street Journal berkenaan traksaksi itu.
"Apa yang dia (Najib) kata ialah isu itu sangat merosakkan reputasi dan kerjayanya, dan dia tak tahu dari mana wang yang dimasukkan ke akaunnya.
"Saya tak ingat sama ada dia ada kata, atau tak, wang itu dari IPSB (Ihsan Perdana Sdn Bhd)," katanya.
Apabila ditanya sama ada Najib ada menunjukkan dia terkejut, Ung berkata Najib sangat jengkel (annoyed).
Ung berkata dia memohon maaf kepada Najib dan menawarkan untuk meletakkan jawatan sebagai CEO YR1M.
Bekas CEO YR1M sertai syarikat Jho Low pada 2004
9.30 pagi: Pemeriksaan balas terhadap bekas CEO Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) Ung Su Ling diteruskan.
Semalam perbicaraan ditamatkan ketika pemeriksaan balas oleh ketua peguam Muhammad Shafee Abdullah. Hari ini peguam Harvinderjit Singh memulakan soalan berkenaan penyediaan keterangan saksi Ung.
Harvinderjit kemudian menyentuh latar belakang saksi ke-48 itu, termasuk pengalamannya bekerja di Wynton Group, syarikat milik ahli perniagaan yang kini dalam buruan, Jho Low.
Menurut Ung, dia mula mengenali Jho Low ketika menuntut di Universiti Wharton di Pennsylvania di Amerika Syarikat, sekitar 2000 atau 2001.
Dia berkata Jho Low ketika itu mahu kembali ke Malaysia dan menubuhkan syarikat, sama seperti yang dibuatnya ketika di AS.
Katanya lagi, dia menyertai Wynton Group pada 2004 bersama tiga individu lagi, termasuk bekas bosnya di syarikat pengurusan aset Marican & Partners.
Dia bekerja di syarikat itu selama dua tahun sebelum menyertai CIMB pada 2006.
9.04 pagi: Tertuduh Najib Razak masuk ke mahkamah dan duduk di barisan depan galeri awam sementara menunggu perbicaraan bermula.
Turut dilihat Peguam Negara Tommy Thomas dan pasukan pendakwaan, serta peguam Harvinderjit Singh dan pasukan pembelaan yang lain.
Perbicaraan dimulakan kira-kira 15 minit kemudian dan Najib masuk ke kandang tertuduh.
Pasukan pembelaan Najib Razak akan meneruskan pemeriksaan balas terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) Ung Su Ling dengan soalan-soalan yang dijangka lebih 'panas'.
Ketua pasukan peguamnya Muhammad Shafee Abdullah membayangkan perkara itu semalam, ketika memberitahu mahkamah bahawa soalan-soalan pasukan pembelaan akan memasuki hal-hal "kontroversi".
Ketika pemeriksaan utama semalam, Ung berkata RM42 juta daripada rakan usaha sama tanggungjawab sosial 1MDB, Ihsan Perdana ke dua akaun AmBank Najib antara Disember 2014 dan Februari 2015 bukan berasal dari YR1M.
Dia juga berkata ketua setiausaha sulit Najib ketika itu, Allahyarham Azlin Alias, memberi arahan kepadanya agar mengarahkan CEO Ihsan Perdana Shamsul Anwar Sulaiman untuk membuat transaksi itu.
Dia juga antara lain berkata dia diberitahu transaksi itu untuk tujuan tanggungjawab sosial korporat, dan pada masa itu tidak tahu bahawa dua akaun tersebut adalah milik Najib.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai