Undi 18 perangkap buat PH, kata Adun
Tindakan kerajaan meluluskan rang undang-undang meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan umur minimum mengundi diturunkan kepada 18 tahun akan menjadi satu perangkap kepada Pakatan Harapan (PH).
Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Ketari, Young Syefura Othman berkata ini kerana terdapat beberapa manifesto PH yang masih belum ditunaikan terutama yang melibatkan anak muda di negara ini.
Menurutnya, pertambahan pengundi muda yang besar di samping isu-isu yang sekiranya tidak dapat diselesaikan pentadbiran PH boleh memakan diri gabungan parti pemerintah itu pada pilihan raya umum akan datang.
“Kita lihat masih banyak lagi janji manifesto PH yang belum ditunaikan khususnya yang melibatkan anak muda, isu paling utama ialah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi (PTPTN).
“Dan kalau kerajaan hari ini tidak berusaha untuk menunaikan janji-janji ini dan tidak menunaikan apa yang anak muda mahukan, maka usaha menurunkan had umur ini akan memakan diri PH sendiri pada pilihan raya akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Forum 1, Berubah Lapan Belas: Antara Trend, Kematangan dan Tanggungjawab pada majlis Forum 'Make A Change, Let' s Do It Together' anjuran SPR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya, hari ini.
Selain menurunkan umur warganegara layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, pindaan perlembagaan pada 16 Julai lalu itu turut mencadangkan penurunan umur warganegara yang layak menjadi ahli Dewan Rakyat dan dewan undangan negeri kepada 18 tahun.
Mereka juga didaftarkan secara automatik sebagai pemilih oleh SPR.
Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 itu diluluskan di Dewan Rakyat setelah memperoleh lebih dua per tiga persetujuan dengan sokongan 211 daripada 222 ahli Dewan Rakyat.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai