Skip to main
Logo Malaysiakini

Cukuplah berkata-kata, kami rayu ambil tindakan, kata keluarga Teoh

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Sedekad selepas kematian pembantu politik Adun Sri Kembangan, Teoh Beng Hock, keluarga mendiang hanya mampu mengucapkan sebaris ayat dalam majlis peringatan Ulang Tahun ke-10 Kematian Teoh Beng Hock.

"Cukuplah berkata-kata, kami rayu ambil tindakan," kata adik Beng Hock, Teoh Lee Lan sambil menangis di Nirvana Memorial Park Semenyih pagi ini.

Kira-kira 200 menghadiri majlis peringatan yang diadakan oleh DAP itu setiap tahun.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, pemimpin veteran Lim Kit Siang, Pengerusi Tan Kok Wai, Timbalan Pengerusi Gobind Singh Deo, Setiausaha Antarabangsa Teo Nie Ching, Pengarah Pendidikan Politik Liew Chin Tong adalah antara pemimpin DAP yang menghadiri majlis peringatan itu.

Dalam ucapannya, Guan Eng berjanji bahawa DAP tidak akan berputus asa untuk mencari kebenaran berhubung kematian Beng Hock.

"Saya beri jaminan, DAP akan berdiri bersama keluarga Teoh selama-lamanya, untuk mencari kebenaran.

"Kami tidak akan melepaskan pembunuh itu, kami juga tidak akan berputus asa terhadap Beng Hock," kata Guan Eng.

Menurut Guan Eng, surat balasan daripada AG memaklumkan ada beberapa halangan pada permulaan penyiasatan kes Beng Hock.

"Bagaimanapun, kerana kita ada ketua polis negara dan ketua pesuruhjaya SPRM yang baru sekarang ... Saya harap tidak ada masalah lagi.

"Kami bersetuju untuk memberi mereka sedikit masa untuk mengendalikan perkara itu, terutamanya ketua polis negara. Dia cukup berani untuk menyokong rang undang-undang IPCMC, beliau juga merupakan ketua polis negara pertama yang menunjukkan sokongan kepada rang undang-undang itu," tambah Guan Eng.

Empat tuntutan

Ketika sidang media, Lee Lan menggesa kerajaan mengambil tindakan mencari kebenaran kematian abangnya dengan menyatakan empat tuntutan.

"Sepuluh tahun ini, kami telah mendengar banyak perkataan, sekarang kami mahu tindakan diambil.

"Tahun lalu, kita telah melihat kerajaan tidak membuat susulan terhadap pasukan petugas khas polis. Jabatan Peguam Negara (AGC) akhirnya tidak membuat sebarang perkembangan baru kes itu," kata Lee Lan.

Justeru, Lee Lan mencadangkan empat tuntutan kepada kerajaan: Pertama, sediakan pasukan petugas khas yang melibatkan beberapa Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan ahli Majlis Peguam yang mengambil berat tentang kes Beng Hock, untuk memantau perkembangan siasatan.

Kedua, menyiasat kematian Beng Hock di bawah Seksyen 302 dan 304 Kanun Keseksaan.

Ketiga, secara terbuka menyiasat dan mendakwa lima pegawai SPRM yang sebelum ini dikaitkan dalam kes berkenaan.

Keempat, kerajaan mesti memegang prinsip dan berjanji untuk mendedahkan kebenaran di sebalik kematian Beng Hock.

Sementara itu, Kit Siang berkata, DAP tidak dapat "mengambil pendekatan sama seperti sebelum ini".

"Kita akan terus mengikuti kes ini tetapi DAP kini mempunyai peranan yang berbeza, kita adalah sebahagian daripada kerajaan dan oleh itu kita tidak dapat mengambil pendekatan seperti sebelum ini.

"Tetapi kita terus mengesa melalui saluran dalaman supaya pandangan, niat kita disampaikan kepada pihak berkuasa yang sepatutnya," kata Kit Siang.

Kit Siang enggan mengulas lanjut apabila ditanya mengenai saluran dalaman yang dimaksudkannya.

"Peguam dan menteri kabinet menangani perkara ini dan mereka akan menjelaskan kepada anda apa yang mereka lakukan," kata pemimpin veteran DAP itu.

Peguam jumpa KPN

Sementara itu, peguam keluarga Teoh, Ramkarpal Singh mendedahkan bahawa mereka kini sedang cuba mendapatkan temu janji dengan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador untuk membincangkan penyiasatan kematian Beng Hock.

Menurut Ramkarpal, perjumpaan itu dijangka diadakan dalam masa dua minggu, dan Peguam Negara Tommy Thomas juga akan bertemu Hamid pada Selasa depan mengenai perkara yang sama.

Ramkarpal menegaskan kepentingan mengklasifikasikan kes tersebut di bawah kesalahan berat seperti pembunuhan.

"Saya bersetuju kes ini mesti dikelaskan di bawah kesalahan membunuh supaya siasatan akan dibuat atau dilakukan untuk pembunuhan.

"Jika anda meminta saya untuk menyiasat kes untuk kesalahan mengurung secara salah, saya akan menyemaknya dari aspek itu, saya tidak akan memeriksa sama ada berlaku pembunuhan.

"Oleh itu, adalah penting bahawa polis mesti memberikan istilah rujukan ... apabila anda memberitahu mereka untuk menyiasat kesalahan ringan seperti pengurungan yang salah, itulah yang akan mereka lakukan.

"Perkara ini yang kita bincangkan dengan peguam negara pada Jumaat lepas, saya fikir dia juga bersetuju dan dia berkata dia akan menghubungi KPN pada Selasa dan mengklasifikasikan kes di bawah kesalahan yang lebih serius," katanya.

Beng Hock kali terakhir dilihat pada 1 Julai 2009, ketika memasuki ibu pejabat SPRM Selangor di Shah Alam untuk disoal siasat semalaman bagi membantu siasatan.

Beng Hock kemudian dijumpai mati di koridor tingkat lima bangunan itu keesokan harinya.

Selepas 10 tahun, belum ada pihak yang bertanggungjawab atas kematian mendiang.

Siasatan dibuka semula tahun lepas. Dua hari lalu, Thomas berkata kes itu tidak mempunyai bukti yang mencukupi untuk disiasat atas kesalahan pembunuhan.