Skip to main
Logo Malaysiakini

Hari ke-41: 'Jho Low diminta tutup akaun Najib lepas amaran Amla'

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

LANGSUNG | Perbicaraan bekas perdana menteri Najib Razak berkenaan dakwaan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd masuk hari ke-41 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Malaysiakini membawakan laporan langsung perbicaraan:


Terima kasih kerana mengikuti liputan langsung Malaysiakini

5.30 petang: Terima kasih kerana mengikuti laporan langsung kami hari ini.

Laporan oleh Hariz Mohd dan Hidir Reduan Abdul Rashid. Gambar oleh Azneal Ishak dan kemas kini media sosial oleh Ewe Ling Yenn.

Jika anda suka laporan kami, sokong media bebas dengan menyertai program langganan kami pada kadar serendah RM0.55 sehari . Maklumat lanjut di sini.


Perbicaraan esok bermula lewat

5.10 petang: Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan peguam Harvinderjit Singh agar perbicaraan esok dimulakan pada pukul 10.30 pagi.

Ia untuk membenarkan Najib dan pasukan pembelaan menguruskan soal Mahkamah Rayuan antara sembilan hingga 9.30 pagi.

Dia berkata pasukan pembelaan akan membatalkan rayuan berkenaan dakwaan bahawa pertuduhan kes SRC International cacat.


'Jho Low diminta tutup akaun Najib'

4.30 petang: Saksi ke-54 Joanna Yu berkata peletakan jawatan pengarah kumpulan AmBank Cheah Tek Kuang pada 2014 menyebabkannya memberitahu Jho Low bahawa akaun Najib perlu ditutup.

Bekas pengurus perhubungan AmBank itu berkata, permintaan itu juga ekoran amaran berkenaan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (Amla) yang dibangkitkan pengarah urusan kumpulan pada masa itu, Ashok Ramamurthy.

Ketika ditanya peguam sama ada wujud sebab lain yang relevan, dia juga menyebut tentang sejumlah besar wang yang dideposit ke dalam akaun itu.


Pendakwa, peguam saling bertekak mengenai 'penyangak bank'

3.28 petang: DPP V Sithambaram dan peguam Najib, Harvinderjit Singh saling bertekak ketika pemeriksaan utama pihak pendakwaan terhadap bekas pengurus perhubungan AmBank, Joanna Yu yang dikaitkan dengan dakwaan "penyangak bank".

Harvinderjit membantah Sithambaram yang bertanya saksi ke-54 itu mengenai  dakwaan 'penyangak bank', yang disebut pihak peguam sebelum ini dalam pemeriksaan balas yang lalu.

Sithambaram: Adakah pemegang akaun menuduh kamu berkomplot dengan Jho Low untuk menjalankan penipuan dan transaksi pada akaun-akaun (Najib) ini?

Joanna: Tidak.

Sitham: Ketika perbicaraan, kami dengar dakwaan bahawa kamu adalah seorang pegawai bank penyangak.

Harvinderjit: Apabila cadangan dibuat, kami tidak nampak kepentingan komunikasi (Balckberry), masih tidak. Mereka bantah bahawa ia tidak relevan, tetapi selama 4 jam (hari ini), kawan saya (Sithambaram) tak melakukan apa-apa melainkan merujuk kepada perbualan itu. Kini mereka cuba untuk mencadangkan kepada saksi ini mengenai sangkaan (bank penyangak). Ini tidak boleh diterima

Sithambaram: Jadi kamu tarik balik dakwaan bank penyangak. Mereka (pihak pembelaan) tidak boleh membuat pelbagai dakwaan terhadap bank itu, dan dia adalah Pengurus Perhubungan, yang mana dia dapat menjelaskan tentang (tuduhan) bank penyangak itu. Jika mereka tarik balik, saya tak akan tanya.

Berbalik semula kepada Yu, Sithambaram kemudian bertanya kepada beliau sama ada terlibat dengan Jho Low dalam apa sahaja cara sehingga membawa kepada tujuh pertuduhan terhadap Najib.

"Tidak ada konspirasi. Oleh kerana (akaun Najib) overdrawn, kami hubungi Jho Low (agar ahli perniagaan itu boleh memastikan pemegang amanah akaun Najib, Nik Faisal Ariff Kamil akan meghubungi Yu)," katanya perlahan.


Deposit tunai dari dana peribadi Najib, kata surat Nik Faisal untuk AmBank

3 petang: Mahkamah mendengar daripada bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu Ging Ping bahawa Nik Faisal Ariff Kamil telah menulis kepada bank itu pada Disember 2014 untuk menjelaskan sumber wang tunai yang didepositkan ke akaun bank Najib Razak.

Joanna berkata surat itu ditulis oleh Nik Faisal kerana AmBank tidak selesa dengan jumlah deposit tunai yang tinggi dalam tiga akaun bank milik Najib dengan nombor akhir 880, 898 dan 906.

Menurut keterangannya, surat Nik Faisal bertarikh 24 Disember 2014 itu menyatakan bahawa beliau mengesahkan wang itu daripada "dana peribadi Datuk Seri".


Lebih RM12 juta dimasukkan ke akaun Najib pada 2014 dan 2015

2.45 petang: Mahkamah diberitahu bahawa bekas perdana menteri Najib Razak menerima sebanyak RM12,379,063 dalam dua akaun bank melalui deposit tunai beberapa kali pada tahun 2014 dan 2015.

Bekas pengurus hubungan AmBank Joanna Yu Ging Ping dalam keterangannya berkata akaun peribadi Najib dengan nombor berakhir 906 itu menerima sejumlah RM6,779,063 antara Jun 2014 dan Mac 2015.

Manakala akaun lain dengan nombor berakhir 880 menerima RM5.6 juta melalui deposit tunai pada Januari dan Feb 2015 .

Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, V Sithambaram, Joanna berkata bank biasanya hanya membenarkan bayaran tunai jika terlepas pandang terhadap akaun yang 'overdrawn' (akaun terlebih keluar).

Bagaimanapun, beliau menambah, bukan perkara biasa bagi pemegang akaun melakukan pembayaran tunai dan terdapat keperluan bagi bank untuk melaporkan kepada pihak berkuasa.


Perbicaraan disambung semula selepas waktu rehat tengah hari

2.35 petang- Prosiding bersambung selepas waktu makan tengah hari dengan pemeriksaan diteruskan terhadap bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu Ging Ping.


1 petang - Prosiding berhenti rehat untuk makan tengah hari dan akan disambung semula pada jam 2.30 petang.


Kad kredit Najib tak boleh guna ketika bercuti pada 2014

12.15 tengah hari - Mahkamah diberitahu bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu bahawa dua kad kredit Najib Razak ditolak (decline) ketika melakukan 16 transaksi berjumlah € 570,000 (RM1.56 juta) pada bulan Ogos 2014.

Menurut saksi berkenaan, transaksi-transaksi itu cuba dilakukan ketika Najib sedang bercuti.

Bagaimanapun, beliau berkata 10 transaksi lain, yang melibatkan pembelian barang kemas bernilai RM3.28 juta menggunakan kad kredit yang sama boleh dilakukan.

Menurut Yu, beliau menghubungi ahli perniagaan Low Taek Jho melalui Blackberry Messenger pada 9 Ogos 2014, untuk mengesahkan RM3.28 juta yang dicajkan kepada kad kredit Najib.

Beliau berkata Low menjawab pada hari yang sama mengatakan bahawa Najib bercuti dan "semuanya baik".

Low kemudian memintanya menghubungi pengarah urusan Kumpulan AmBank ketika itu, Cheah Tek Kuang untuk menjelaskan jumlah tertentu "kerana kamu tahu beli apa."


Tak elok jika tengok PM Najib guna cek tendang : Joanna Yu

11.58 tengah hari: Adalah tidak bagus untuk melihat seorang perdana menteri seperti Najib Razak mengeluarkan cek sedangkan baki yang ada dalam akaun banknya tidak mencukupi.

Ini penjelasan yang diberikan bekas pengurus perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping tentang mengapa beliau berurusan dengan Jho Low sekiranya tidak dapat menghubungi Nik Faisal Ariff Kamil, selaku pemegang amanah akaun Najib.

Semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) V Sithambaram, saksi ke-54 itu berkata, beliau perlu menyelesaikan dan cuba mengelakkan sebarang cek tendang yang dikeluarkan daripada akaun Najib jika tidak terdapat baki yang mencukupi di dalam akaun.

"Apabila terdapat wang yang tidak mencukupi (dalam akaun Najib), kami tidak fikir cek perdana menteri yang ditendang akibat baki yang tidak mencukupi adalah bagus. Beliau adalah perdana menteri Malaysia.

"Oleh kerana ia tidak kelihatan elok bagi PM jika cek dikeluarkan tetapi terdapat wang tidak mencukupi.

"Kami tidak mahu berlaku PM Malaysia tidak mempunyai wang yang mencukupi," kata Joanna ketika memberikan keterangan.

Joanna menjelaskan itu sebab mengapa beliau sentiasa cuba mendapatkan Nik Faisal dan kemudian kepada Jho Low jika berlaku 'overdrawn' terhadap akaun Najib, terutama apabila cek telah dikeluarkan.


11 pagi: Bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu Ging Ping memberitahu mahkamah bahawa sejumlah AS$ 130,625.11 (RM466,330) telah dicajkan ke atas salah satu daripada akaun kad kredit Najib Razak bagi pembelian di kedai fesyen eksklusif Chanel di Honolulu.

Dalam keterangannya beliau berkata caj itu dikenakan pada 22 Dis 2014 pada kad Visa Platinum Najib dengan nombor akhir 5496.

Joanna juga berkata beliau menerima mesej Blackberry Messenger dari ahli perniagaan Low Taek Jho pada jam 2.10 petang (waktu Malaysia) pada 23 Disember 2014 yang bertanya jika sistem bank adalah ok untuk mengenakan caj AS$ 100,000 dalam satu pembelian.

Sambil membacakan transkrip mesej chat berkenaan, Joanna berkata Jho Low telah memanjangkan mesej teks yang dikatakan daripada Najib.

Beliau berkata Jho Low memberitahunya bahawa ia perkara mustahak dan Najib berada di Hawaii, dan beliau mahu mengenakan caj AS$ 100,000 ke atas kadnya.

Joanna berkata beliau kemudian berhubung dengan jabatan kad kredit bank berkenaan yang kemudian mengesahkan bahawa urus niaga itu telah ditunaikan.

Sithambaram: Apabila kamu menerima mesej seperti ini dari Jho Low, yang memanjangkan mesej yang dikatakan dari bekas PM, adakah kamu mempunyai sebab untuk mengesyaki mesej ini pada masa itu?

Joanna: Tidak. Saya menganggap ia adalah dari Datuk Seri Najib. Itu sebab mengapa kami periksa kad kredit itu jika ia aktif.


Jho Low selesaikan sebarang isu akaun terlebih keluar: Joanna Yu

10.54 pagi: Joanna Yu dalam keterangannya berkata Jho Low adalah individu yang menyelesaikan sebarang isu berkaitan akaun terlebih keluar (overdrawn) bagi akaun Najib di Ambank.

Bekas Pengurus Perhubungan AmBank itu memberitahu keadaan itu berlaku apabila beliau tidak dapat menghubungi pemegang amanah bagi akaun berkenaan, Nik Faisal Ariff Kamil.

"Dia (Jho Low) menangani isu akaun terlebih keluar dan memastikan cek ditunaikan," katanya.

Beliau menambah Jho Low boleh melakukan perkara itu walaupun ahli perniagaan sendiri tidak pernah menjadi pemegang mandat rasmi ke atas akaun Najib di AmBank .

"Pada keadaan tertentu, saya beritahu dia (Jho Low) kerana saya tidak boleh menghubungi Nik, beliau (Jho Low) akan kata" Okay ", maka seseorang akan masukkan dalam deposit tunai (dalam akaun terlebih keluar Najib), atau dia ( Jho Low) akan memberitahu Nik agar menghubungi saya.

"Dia (Jho Low) mampu menangani keadaan akaun terlebih keluar," kata Yu berkenaan akaun bank semasa Najib dengan AmBank.


Joanna Yu: Saya kadangkala hubungi Jho Low berkenaan akaun Najib

10.30 pagi - Bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu Ging Ping berkata beliau kadangkala akan menghubungi ahli perniagaan Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low, berhubung arahan mengenai akaun bank Najib Razak.

Dalam keterangannya beliau berkata keadaan itu berlaku apabila beliau tidak dapat menghubungi orang yang diberi kuasa, Nik Faisal Ariff Kamil.

Bagaimanapun, semasa pemeriksaan utama oleh DPP V Sithambaram, Joanna berkata, beliau hanya menerima arahan bertulis, yang kemudian dipanjangkan kepada cawangan bank dari Nik Faisal kerana dia adalah orang yang diamanahkan untuk akaun tersebut.


Nik Faisal tidak mempunyai akses kepada akaun Najib

10.20 pagi - Bekas pengurus perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping memberitahu mahkamah bahawa hanya Najib dibenarkan mengeluarkan cek daripada akaun semasanya.

Dalam keterangannya beliau berkata Nik Faisal Arif Kamil, yang diberi mandat  atas akaun Najib, tidak dapat mengeluarkan cek bagi pihak bekas perdana menteri itu.

Yu berkata Nik Faisal juga tidak dapat mengeluarkan atau mengambil wang daripada akaun Najib.


Saya tiada akses langsung kepada akaun AmBank Najib - Joanna Yu

10.15 pagi - Bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu Ging Ping berkata beliau tidak mempunyai akses langsung kepada akaun bekas perdana menteri, Najib Razak.

Semasa pemeriksaan utama oleh DPP V Sithambaram, saksi ke-54 itu mengatakan beliau tidak memiliki akses itu selaku pengurus perhubungan, dan beliau hanya bertindak sebagai penghubung.

Sithambaram: Bolehkah kamu mengakses akaun pelanggan Najib dari terminal komputer kamu?

Joanna: Tidak, kami (pengurus perhubungan) perlu menghubungi cawangan (cawangan Jalan Raja Chulan di mana akaun semasa dan simpanan Najib dibuka). Ia adalah keistimewaan pelanggan.


Ambank ambil kira kedudukan Najib

10 pagi - Bekas pengurus perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping memberitahu mahkamah bahawa bank itu tidak mengenepikan cek yang dikeluarkan oleh Najib walaupun akaun terlebih keluar (overdrawn).

Ketika memberi keterangan semasa pemeriksaan utama oleh pihak pendakwa, beliau mengatakan ini disebabkan status dan kedudukan Najib ketika itu sebagai perdana menteri dan menteri kewangan.

Beliau menambah bank itu akan menghubunginya dan beliau kemudian akan menghubungi Nik Faisal Ariff Kamil, yang merupakan pemegang mandat untuk akaun Najib, untuk memaklumkan kepadanya untuk segera memperbetulkan akaun 'overdrawn' berkenaan.


'Jho Low hubungi saya mengenai pembukaan akaun bank Najib'

9.34 pagi: Saksi ke-54 yang juga bekas Pengurus Perhubungan AmBank Joanna Yu mengatakan ahli perniagaan Jho Low menghubungi beliau pada awal tahun 2011 berkenaan pembukaan akaun bank semasa dan simpanan Najib Razak di AmBank.

Beliau memberitahu Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Budiman Lutfi Mohamed semasa pemeriksaan utama bahawa Jho Low juga bertanya adakah kemungkinan Pengarah Urusan Ambank Cheah Tek Kuang secara peribadi menemui Najib untuk memudahkan pembukaan akaun.


9.27 pagi: Saksi ke-54 yang juga bekas Pengurus Perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping mengambil tempat bagi memberi keterangan dalam pemeriksaan utama.

Difahamkan pendengaran permohonan pihak pendakwaan agar Najib memohon maaf berkaitan hantaran Facebook mengenai perbelanjaan kad kredit sebanyak RM3.36 juta akan dilakukan lewat hari ini.


9.26 pagi: Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali memasuki mahkamah.


9 pagi:  Tertuduh Najib Razak memasuki mahkamah dan mengambil tempat duduk di baris hadapan galeri awam.

Juga kelihatan Peguam Negara Tommy Thomas dan barisan pihak pendakwaan, serta pasukan peguam bela bekas perdana menteri itu.


Apakah Najib Razak perlu membuat permohonan maaf secara penuh dan tanpa syarat ke atas hantaran Facebooknya mengenai RM3.36 juta perbelanjaan kad kredit yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri itu?

Ini adalah isu yang akan dibahaskan pihak pendakwaan dan pembelaan pada hari ke-41 perbicaraan terhadap bekas perdana menteri atas dakwaan salahguna dana SRC International Sdn Bhd sebanyak RM42 juta.

Perbicaraan akan dijalankan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali pagi ini.

Pada 18 Julai, Nazlan memberi amaran kepada Najib untuk menahan diri daripada membuat hantaran di media sosial yang boleh menghina mahkamah.

Ini susulan hantaran Facebook beliau pada 16 Julai yang mempertahankan perbelanjaan untuk membeli hadiah bagi raja dari negara lain pada 2014.

Amaran hakim bertujuan mengekalkan status quo sementara menunggu pendengaran bagi pihak pendakwaan menuntut permohonan maaf daripada Najib pada jam 9 pagi ini.

Hakim sebelum ini berkata pendengaran ringkas ini tidak akan melebihi satu jam sebelum perbicaraan utama diteruskan.