Skip to main
Logo Malaysiakini

‘AmBank tak selesa dengan jumlah besar tunai masuk ke akaun Najib’

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

KES NAJIB l Pengurus bank Joanna Yu memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa AmBank pada satu ketika pada tahun 2014 menjadi tidak selesa dengan jumlah wang tunai yang besar didepositkan ke akaun bank bekas perdana menteri Najib Razak.

Yu, pengurus perhubungan untuk akaun Najib pada ketika itu, memberi keterangan pada hari ke-41 perbicaraan SRC International yang mendorong AmBank bertindak meminta surat bagi mengesahkan sumber dana tersebut.

Beliau berkata permintaan itu dibuat kepada ketua pegawai eksekutif SRC International, ketika itu, Nik Faisal Ariff Kamil, selaku pemegang amanah untuk akaun Najib.

Semasa pemeriksaan utama, Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram meminta Yu membacakan surat bertarikh 24 Disember, 2014 dari Nik Faisal yang memberi kelulusan deposit tunai dimasukkan ke dalam akaun Najib.

"Saya mengesahkan wang itu adalah daripada dana peribadi Datuk Seri (Najib)," katanya, membaca surat daripada Nik Faisal.

Yu memberi keterangan bahawa surat itu bagi menjawap soalan mengenai pelbagai deposit tunai yang dimasukkan ke dalam tiga akaun Najib.

Sithambaram: Mengapa surat ini ditulis dan diberikan kepada bank?

Yu: Bank sebenar memintanya. Saya bercakap dengan Nik Faisal dan (ahli perniagaan) Low Taek Jho, memberitahu mereka bahawa bank kami tidak selesa dengan jumlah deposit tunai yang dibuat ... Saya meminta mereka menulis surat, dan mereka menulis surat ini.

Sithambaram: Ini mandat dari pemegang akaun?

Yu: Ya. Kita perlu tahu sumber dana.

Yu juga bersetuju bahawa deposit tunai kerap dimasukkan ke dalam akaun Najib, dan ini bukan amalan lazim oleh pelanggan.

"Pembayaran tunai dibenarkan, namun sebenarnya bukan amalan biasa untuk melakukan pembayaran tunai," katanya.

Yu mengesahkan bahawa dalam tempoh sembilan bulan, dari bulan Jun 2014 hingga Mac 2015, sejumlah RM12,379,063 wang tunai dimasukkan ke dalam akaun Najib.

Ditanya siapa yang membuat simpanan itu, dia menjawab: "Nik Faisal atau Low, tetapi biasanya didepositkan oleh Kee Kok Thiam."

Kee sebelum ini telah dikenalpasti sebagai sekutu Low, dan ditugaskan membuat deposit tunai ke dalam akaun Najib. Dia juga btertakluk kepada saman pelucutan hak sivil di Malaysia.

Najib berdepan dengan tiga tuduhan pecah amanah jenayah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu tuduhan salah guna kuasa berhubung sejumlah RM42 juta yang diseleweng daripada dana SRC International.