Skip to main
Logo Malaysiakini

Najib tarik balik rayuan ketepikan tujuh pertuduhan SRC

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Bekas perdana menteri Najib Razak hari ini menarik balik rayuannya ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonannya untuk mengugurkan pertuduhan penyelewengan dana bernilai lebih RM42 juta berkaitan SRC International.

Peguam Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee memaklumkan kepada Mahkamah Rayuan bahawa pihak pembela tidak mahu meneruskan permohonan itu, atas alasan kes itu sedang dibicarakan dan permohonan tersebut telah pun dikemukakan sebelum kes bermula.

"Rayuan untuk mengetepikan pertuduhan ini tidak lagi sesuai. Kami akan memasukkan hujahan ini di akhir perbicaraan," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Izzat Fauzan memaklumkan pihaknya tidak membantah permohonan itu.

Hakim Abdul Rahman Sebli yang bersidang bersama-sama Kamardin Hashim dan Zabariah Mohd Yusof kemudiannya mengetepikan rayuan itu.

Najib, yang genap usia 66 tahun hari ini, berdepan tujuh pertuduhan berkaitan pecah amanah, menyalah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta milik SRC International.

Setakat ini, 54 saksi telah memberi keterangan dalam perbicaraan yang sedang berjalan itu.

Anggota Parlimen Pekan itu memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan selepas Mahkamah Tinggi pada 29 April lepas, menolak permohonannya untuk mengetepikan tujuh pertuduhan itu atas alasan pertuduhan terbabit adalah cacat dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Dalam keputusannya, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata tidak ada kekaburan dalam pertuduhan terhadap Najib dan pihak pendakwaan berhak mengenakan pertuduhan seperti yang dihadapinya.

Najib tidak hadir di mahkamah hari ini.

Muhammad Farhan memberitahu pemberita pihak pembelaan memfailkan notis pemberhentian rayuan itu semalam.

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Ahli Parlimen Pekan itu dituduh melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan dan di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya antara 17 Ogos 2011 dan 10 Februari 2015.