Skip to main
Logo Malaysiakini

Hari ke-43: Peguam Najib sakit, perbicaraan ditangguhkan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

LANGSUNG | Perbicaraan jenayah bekas perdana menteri Najib Razak yang melibatkan dakwaan penyalahgunaan dana dari SRC International Sdn Bhd memasuki hari ke-43 di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini

Malaysiakini membawa anda laporan langsung prosiding.


Ringkasan kes Najib berhubung dana SRC RM42 juta

Najib Razak berdepan 7 tuduhan berkaitan dana RM42 juta melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB

  • 1 tuduhan salah guna kuasa
  • 3 tuduhan pecah amanah
  • 3 tuduhan pengubahan wang haram
  • Klik untuk perincian lanjut hakim, pasukan pendakwaan dan pembelaan


Mahkamah ditangguhkan Khamis apabila peguam bela jatuh sakit

9.30 pagi - Hari ke-43 pendengaran bermula dengan pasukan pembelaan membuat permohonan lisan untuk menangguhkan prosiding hari ini.

Peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed memberitahu mahkamah bahawa rakannya, Harvinderjit Singh, yang sepatutnya meneruskan pemeriksaan balas pasukan pembelaan terhadap bekas pengurus hubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping, tidak sihat.

Sementara, peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah, katanya, pula sibuk dengan perbicaraan di hadapan seorang hakim Mahkamah Tinggi lain, yang dijadualkan bersara menjelang akhir bulan Julai. Justeru, hakim berkenaan perlu melupuskan semua kesnya sebelum tarikh itu.

"Atas dasar itu, kami dengan rendah diri memohon Yang Arif untuk mengosongkan tarikh hari ini dan meneruskan perbicaraan esok," kata Wan Aizuddin.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali kemudian bertanya kepada pasukan pembelaan sama ada mereka mempunyai peguam lain yang boleh menjalankan  pemeriksaan balas terhadap Yu.

Wan Aizuddin memberitahu mahkamah bahawa peguam lain, Farhan Read, juga sakit dan tidak hadir sejak semalam, dan tidak ada arahan untuk anggota peguam lain untuk mengambil alih.

Permohonan pasukan pembelaan disokong oleh pihak pendakwa, dengan DPP V Sithambaram memberitahu mahkamah bahwa mereka tidak ingin menjadi tidak bertimbang rasa ketika seorang peguam berpengalaman sakit.

Sithambaram berkata dia dihubungi oleh Harvinderjit kira-kira 6.30 pagi tadi untuk memberitahu bahawa dia tidak sihat. Dia juga meminta maaf kepada mahkamah kerana saksi lain pendakwaan tidak bersedia untuk dipanggil untuk memberi keterangan hari ini.

"Tetapi jika mahkamah mahu berhati-hati, kita harus menggantikan (pendengaran hari ini) pada 9 Ogos sebagai tarikh gantian," kata Sithambaram.

Hakim kemudian membenarkan permohonan untuk mengosongkan pendengaran hari ini, dan perintah mahkamah ditangguhkan sehingga 9 pagi esok.

Hakim Nazlan memberitahu peguam bahawa sekiranya peguam bela tidak sihat esok, beberapa perkiraan harus dibuat untuk memutuskan sama ada pemeriksaan balas diteruskan oleh ahli pasukan pembelaan lain, atau untuk pihak pendakwaan membawa saksi lain.


9.06 pagi - Tertuduh Najib Razak memasuki mahkamah dan mengambil tempat duduk di barisan hadapan galeri awam untuk menunggu prosiding bermula.


Saksi pendakwaan utama Joanna Yu Ging Ping akan memberi keterangan bagi hari ketiga hari ini.

Yu yang merupakan bekas pengurus perhubungan AmBank dijangka diperiksa balas selanjutnya oleh peguam bela Harvinderjit Singh.

Berdasarkan pemeriksaan balas selama dua hari yang lalu, pasukan pembelaan mungkin akan menyoal Yu berhubung log perbualan telefon antara dia dan ahli perniagaan Low Taek Jho, urusannya dengan Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil, dan sejauh mana peranannya dalam jejak dan transaksi kewangan yang melibatkan akaun AmBank yang dituduh.