Skip to main
Logo Malaysiakini

Nama Farhash, Amirudin 'naik' dalam mesyuarat Biro Politik PKR

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Nama Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, dibincangkan dalam mesyuarat biro politik parti itu malam tadi.

Ketika nama Farhash disahkan disebut dalam mesyuarat itu oleh Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, nama Amirudin pula dimaklumkan oleh sumber dalaman parti.

Menurut Fahmi, Lembaga Disiplin PKR akan menghubungi Farhash - yang juga setiausaha politik Anwar Ibrahim - serta beberapa individu lain untuk mendapatkan penjelasan mengenai kenyataan yang dibuat mereka akhir-akhir ini.

“Biro politik telah memaklumkan kepada lembaga disiplin untuk menghubugni beberapa anggota parti dan pimpinan, termasuk Farhash dan beberapa individu lain dan saya percaya berhubung kenyataan yang mereka buat," katanya.

Menurut Fahmi, dalam isu terkini PKR beberapa individu akan dihubungi lembaga disiplin parti, dengan Farhash adalah seorang daripada mereka.

Terdahulu Fahmi ditemui selepas menghadiri mesyuarat mingguan Biro Politik PKR di ibu pejabat parti di Petaling Jaya malam ini.

Turut hadir, Anwar yang juga presiden PKR, Wan Azizah Wan Ismail, Tian Chua, Saifuddin Nasution Ismail, Lee Chean Chong, Chang Lih Kang, Dr A Xavier Jayakumar, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Syed Husin Ali.

Keluar 30 minit lebih awal

Disoal tentang “individu lain” yang dimaksudkannya, Fahmi tidak mahu mengulas lanjut dan meminta pemberita menghubungi Pengerusi Lembaga Disiplin, Ahmad Kassim.

Kenyataan yang disebut oleh Fahmi itu dipercayai merujuk kenyataan Farhash semalam yang melaungkan “Azmin semburit” selepas dibebaskan daripada tahanan reman polis Dang Wangi.

Dia ditahan bagi membantu siasatan penyebaran video seks sejenis yang dikaitkan dengan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali dan bekas Ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Sementara itu sumber dalaman memaklumkan Malaysiakini, nama Amirudin dibangkitkan dalam pertemuan malam ini.

Amirudin ialah pengerusi PKR Selangor dan diketahui menjadi penyokong setia Azmin. Kedua-dua mereka tidak hadir dalam pemukinan PKR yang berlangsung selama tiga hari di Port Dickson mulai 19 Julai lalu.

Pada 21 Julai - ketika berucap di majlis kesyukuran Azmin - Amirudin berkata dalang di sebalik penyebaran video tersebut ialah “mereka yang pernah berjuang melalui dan melawan detik sejarah hitam itu”.


Baca Ucapan penuh Azmin di kediaman rasmi MB Selangor


Kata sumber itu lagi, Biro Politik PKR turut membincangkan nama penasihat Azmin, Khalid Jaafar.

Untuk rekod Azmin dan Khalid pernah berkhidmat sebagai salah seorang setiausaha Anwar sewaktu anggota parlimen Port Dickson itu menjadi timbalan perdana menteri serta menteri kewangan kira-kira 20 tahun lalu.

Khalid adalah antara tokoh PKR yang menulis untuk mengkritik cara politik Anwar.

Mesyuarat hari ini tamat kira-kira jam 10 malam.

Cubaan media untuk mendapatkan komen terkini Anwar tidak kesampaian apabila beliau tidak mahu menjawab soalan pemberita, sebaliknya menyerahkan kepada Fahmi untuk menjawab pertanyaan yang dibangkitkan.

“Saya bagi penuh kepercayaan kepada Fahmi untuk bercakap," katanya sebelum masuk ke keretanya.

Apabila ditanya sama ada mesyuarat berbincang mengenai Farhash atau tidak, Anwar sekali lagi menjawab: “Fahmi jawab”.

Tian pula dilihat keluar meninggalkan mesyuarat kira-kira setengah jam lebih awal berbanding yang lain.