Melayu dan hantu
ULASAN l Izinkan saya mengulas panjang sikit mengenai inti pati amanat Presiden Bersatu Dr Mahathir Mohamad di perhimpunan luar biasa parti itu di Serdang, Selangor, Sabtu lalu.
Ada dua tema utama dalam ucapan beliau. Pertama, orang Melayu bersatu hati bangkit menentang Malayan Union (Kesatuan Malaya) pada tahun 1946 yang sekali gus menyelamatkan institusi raja daripada menjadi hamba British.
Kedua, orang Melayu gagal memanfaatkan hasil perjuangan mereka sendiri kerana mabuk kuasa dan gila harta.
Sebagai pemerhati tua yang mengikuti jatuh bangun perjuangan Dr Mahathir sejak tahun 1964, saya perhatikan yang dua tema ini tidak lekang daripada pemikiran dan tindakan beliau.
Setiap analisis beliau tentang bangsa Melayu akan dimulakan dengan menyebut dua perkara ini.
Sayugia diingatkan ada perbezaan di antara orang Melayu dan bangsa Melayu. Satu Melayu kerana keturunannya dan satu lagi Melayu kerana perlembagaan.
Kalau ikut darah keturunan, orang Filipina juga Melayu. Tetapi di Malaysia, ikut perlembagaan, sesiapa saja yang beragama Islam, amal adat resam Melayu dan bertutur bahasa Melayu maka Melayulah dia.
Melayu dan Raja
Sebelum zaman penjajahan Barat yang bermula dengan penaklukan Portugis ke atas Melaka pada tahun 1511, Raja-raja Melayu berkuasa mutlak. Rakyat jelata adalah hamba abdi.
Tetapi pada tahun 1946, hamba abdi itulah yang bangun menentang Malayan Union dan sekali gus menyelamatkan kesultanan Melayu sedangkan pada ketika itu raja-raja sudah menyetujui konspirasi Inggeris itu.
Malah apabila orang Melayu mula menuntut kemerdekaan, sesetengah raja Melayu menentangnya kerana mereka selesa dengan kemakmuran dan kedudukan yang dijanjikan Inggeris walaupun kuasa mereka dihadkan kepada hal ehwal agama Islam dan adat istiadat Melayu sahaja.
Namun begitu, apabila kita merdeka pada 31 Ogos 1957, kita mengekalkan raja-raja kita dan mendaulatkan kedudukan mereka.
Kita tidak ikut tindakan banyak negara bekas tanah jajahan yang merdeka lebih awal daripada kita, seperti India dan Indonesia, yang membuang raja-raja mereka.
Asas kelangsungan
Untuk terus berperanan dan diterima umum, institusi raja wajiblah bersama-sama dengan rakyat jelata mengamalkan semangat dan piawaian yang terkandung dalam Rukun Negara:
1. Kepercayaan kepada Tuhan
2. Kesetiaan kepada raja dan negara
3. Keluhuran Perlembagaan
4. Kedaulatan Undang-undang
5. Kesopanan dan kesusilaan.
Adalah amat janggal bagi seorang Raja Melayu yang menjadi ketua agama Islam dan adat resam Melayu di negerinya apabila baginda bercerai talak tiga dengan isterinya, hal itu disahkan oleh sebuah syarikat guaman Singapura den seorang peguam Cina.
Menurut laporan media massa tempatan dan antarabangsa, peguam Koh Tien Hua, yang mewakili firma Eversheds Harry Elias LLP mengesahkan perceraian raja itu dengan isterinya seorang bekas peserta ratu cantik bandaraya Moscow, Rusia.
Daripada laporan yang saya baca, percubaan wartawan tempatan mengesahkan hal itu dengan istana dan kerajaan negeri “kesenangan dan kenikmatan” itu gagal.
Tetapi cerita itu tidak berakhir di situ saja. Media massa antarabangsa terus menyiarkan pelbagai fakta mengiurkan dan cerita sensasi mengenai perkahwinan setahun itu.
Mitos dan realiti
Sekarang ini, orang Melayu yang besar bilangannya di Malaysia nampak sangat benci dan takut kepada orang Cina dan menyalahkan segala-galanya kepada DAP.
Mungkin benarlah anggapan bahawa perpaduan dan kepahlawanan Melayu yang diuar-uarkan selama ini lebih berupa mitos daripada realiti.
Kalau Melayu bersatu padu dan berani, mengapakan mereka nampak begitu takut kepada orang bukan Melayu yang sedikit?
Mungkin oleh sebab orang Melayu tidak berpadulah maka lahir banyak empayar, negara dan negeri Melayu di Nusantara.
Persaingan dan permusuhan di kalangan mereka ini juga yang memudahkan campur tangan dan seterusnya penaklukan oleh kuasa-kuasa penjajah Barat.
Ketika perjuangan kemerdekaan dan beberapa ketika selepas itu semangat orang Melayu kental. Mereka berjuang demi agama, bangsa dan negara.
Tetapi tidak lama selepas itu, akibat berebut kuasa dan kekayaan, perpaduan Melayu retak dan akhirnya pecah.
Pada tahun 1953 Umno pecah apabila golongan agama keluar dan menubuhkan Parti Islam Se-Malaya (PAS).
Melayu akan terus lemah dan jauh ketinggalan jika mereka membiarkan hantu, iblis dan jembalang bertakhta di hati mereka.
Untuk kembali kuat, mereka wajib menghambat keluar hantu, iblis dan jembalang dari hati mereka dan menggantikannya dengan budi dan iman, keberanian dan ketekunan, keunggulan dan keikhlasan.
DATUK A KADIR JASIN adalah bekas ketua pengarang Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd. Beliau kini bergiat dalam Bersatu sebagai pimpinan pusat parti itu.
Tulisan ini asalnya disiarkan di blog beliau dengan tajuk Perpaduan dan Kepahlawanan Melayu - Realiti atau Mitos? Pandangan penulis tidak semesti mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai