Hari ke-45: Jho Low panggil Najib 'big bos', kata saksi
LANGSUNG | Perbicaraan tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan nilai RM42 juta ke atas Najib Razak bersambung lagi. Hari ini ia memasuki hari ke-45.
Sesi hari ini bermula dengan pihak pendakwaan menampilkan saksi ke-55, iaitu seorang peguam, Ranjit Singh, yang pernah mewakili bekas presiden MCA, Ling Liong Sik, dalam saman dikemukakan Najib Razak ke atasnya.
Malaysiakini membawakan liputan perbicaraan itu secara langsung di sini.
LANGSUNG
5.18 petang: Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali menangguhkan perbicaraan kepada sembilan pagi Rabu ini.
Ia selepas peguam Harvinderjit Singh berkata dia memerlukan sekurang-kurangnya satu setengah hari lagi untuk menyelesaikan pemeriksaan balas dengan bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu.
Saksi: Jho Low paggil Najib 'big bos'
4.55 petang: Bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu memberitahu ahli perniagaan Low Taek Jho, atau Jho Low, merujuk pemilik akaun dan bekas perdana menteri Najib Razak sebagai "big bos".
Saksi ke-54 pendakwaan itu memberitahu peguam Harvinderjit Singh ketika pemeriksaan balas berkenaan mesej yang dihantar Jho Low kepada Yu pada 30 Mei 2014.
Harvinderjit: Pada 30 Mei 2014, Jho hantar (mesej) kepada anda "50 pai Amerika akan masuk (incoming)".
Yu: Dia kata big bos telefon.
Harvinderjit: Siapa big bos?
Yu: Pemilik akaun (Najib).
Dia kemudian membuatkan hadirin ketawa apabila berkata "saya tak pasti siapa bos yang lebih besar (bigger boss)".
Saksi: Nik Faisal beritahu dia hanya 'ikan bilis'
4.45 petang: Bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu berkata Nik Faisal Ariff Kamil, yang diberi mandat mengendalikan akaun AmBank Najib Razak, memberitahunya bahawa dia hanyalah 'ikan bilis'.
Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Harvinderjit Singh, dia setuju bahawa bekas CEO SRC International itu memberitahunya tentang perkara itu menerusi BlackBerry Messenger (BBM).
Harvinderjit: 10.13 pagi (15 Februari 2015), Nik mesej anda: "I ciku saja maa". Dia beritahu anda bahawa dia bukanlah sesiapa.
Yu: Itu yang dia kata, tapi saya tak setuju dengannya.
Dalam usahanya untuk menunjukkan Nik Faisal hanya mengikut arahan daripada Jho Low dalam mengendalikan akaun Najib, Harvinderjit juga cuba menunjukkan Nik Faisal bertegas dengan Yu untuk memaklumkan kepada Low berkenaan baki tidak mencukupi dalam akaun.
Harvinderjit: 16 Januari (2015), pada sembilan pagi dia (Nik Faisal) beritahu anda bahawa seseorang perlu tahu tentang perlunya dana.
Yu: Ya.
Harvinderjit: Dia beritahu anda yang perlu maklumkan Jho Low yang RM3.5 diperlukan untuk akaun?
Yu: Ya.
4.30 petang: Mahkamah dimaklumkan, Jho Low nampak terdesak untuk mengelak cek dari akaun bank Najib menjadi cek tendang.
Membenarkan cadangan dikemukakan peguam Harvinderjit Singh, Joanna Yu sebelum itu ditanya mengenai catatan sembang di antara dia dan ahli perniagaan itu pada Okt 2014.
Harvinderjit: Kemudian pada hari sama, dia menghantar mesej: "Aiyoh, tak boleh tolaklah. Kena jelaskan. Cuma tunggu sekejap." Semuanya berlaku (pada hari sama)?
Yu: Ya.
Harvinderjit: Ada semacam keterdesakan dalam mesej ini?
Yu: Saya beritahu dia, waktu terakhir (untuk menjelaskan cek berkenaan) ialah jam 5.30 petang.
Harvinderjit: (Jho Low ) begitu terdesak?
Yu: Saya percaya, ya.
Sebelum ini mahkamah dimaklumkan akaun Najib sering berdepan masalah pengeluaran berlebihan, mendorong Yu perlu selalu berhubung dengan orang yang diberi mandat menguruskannya, iaitu Nik Faisal Ariff Kamil atau Jho Low bagi menyelesaikan isu berkenaan.
4.20 petang: Jho Low dilihat mengawal tiga akaun bank Najib di Ambank, kata Joanna Yu.
Bekas pengurus perhubungan awam bank itu memberitahu tanggapan itu dibuat berdasarkan kepada komunikasi dia dengan ahli perniagaan yang dikehendaki polis di banyak negara terbabit.
Yu juga bersetuju dengan cadangan peguam bela Najib bahawa Jho Low meyakinkannya bahawa dia selalu berhubung dengan Najib sebagai pemilik akaun berkenaan.
Bagaimanapun Yu tidak dapat memastikan sama ada hal tersebut benar-benar berlaku atau sebaliknya.
3.24 petang: Joanna Yu memberitahu mahkamah, dia bersetuju dengan penegasan pembelaan bahawa dia lebih banyak berhubung dengan Jho Low berbanding Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil, semasa menangani akaun Najib.
Katanya, hal itu berlaku ketika Nik Faisal adalah orang yang diberikan mandat mengelolakan akaun berkenaan.
3.10 petang: Seorang bekas pegawai kanan Ambank mendakwa pernah menolak arahan Jho Low yang mengarahkannya memusnahkan buku cek lama yang dikaitkan dengan tiga akaun semasa Najib Razak pada 2013.
Bekas pengurus perhubungan awam Ambank, Joanna Yu, berkata sebaliknya dia menyerahkan buku cek tersebut kepada cawangan bank berkenaan di Jalan Raja Chulan.
Menjawab soalan peguam bela Najib, Harvinderjit Singh, saksi pendakwaan ke-54 berkata ada sebab mengapa dia tidak memusnahkan buku cek tersebut.
"Ada arahan terselindung untuk memusnahkannya, tetapi mengapa kita perlu buat? Cuma serahkan ia kepada cawangan," katanya.
2.42 petang: Perbicaraan sesi petang bermula.
1 petang: Mahkamah berhenti rehat dan akan disambung jam 2.30 petang nanti.
12.54 tengah hari: Sate dan pai bukan sekadar nama makanan dalam transaksi dana ke akaun Najib di Ambank sebelum ini.
Menurut saksi pendakwaan, Joanna Yu, istilah tersebut digunakan Jho Low untuk merujuk kepada mata wang ringgit Malaysia dan dolar AS ketika mereka berkomunikasi.
Harvinderjit: Mengapa gunakan tatanama pai dan sate ini?
Yu: Itulah yang digunakan Jho (Low) (semasa berbual melalui BBM).
Harvinderjit: Kamu ketika itu faham?
Yu: Ya.
Harvinderjit: Pai ialah dolar AS, sate ialah ringgit?
Yu: Ya.
12.25 tengah hari: Joanna Yu bersetuju dengan cadangan peguam bela Najib bahawa Jho Low kelihatan menjadi orang yang bertanggungjawab memberikan arahan dan Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil, sekadar memformalkannya.
Harvinderjit: Kamu bersetuju bahawa arahan (mengenai pengurusan memasukkan dana ke akaun Najib) datang daripada Jho Low dan Nik Faisal cuma memformalkannya?
Yu: Nampaknya begitu.
Mahkamah sebelum ini diberitahu Nik Faisal juga adalah orang yang diberikan mandat untuk mengendalikan akaun Najib di Ambank.
11.55 pagi: Bekas pengurus perhubungan awam Ambank, Joanna Yu, berkata tiada apa yang ingin disembunyjikan berhubung kemasukan dana dengan jumlah besar ke akaun Najib antara 2011 hingga 2013.
Dia berkata demikian semasa menjawab soalan balas peguam bela, Harvinderjit Singh.
Harvinderjit: Ramai orang tahu mengenai jumlah ini?
Yu: Jabatan berkaitan yang menguruskan akaun semasa, bos-bos, mereka tahu.
Harvinderjit: Kalau apa yang diberitahu oleh Cheah (Tek Kuang, bekas pengarah urusan Ambank) beritahu kamu adalah benar, malah gabenor Bank Negara (pun tahu)?
Yu: Ya.
11.45 pagi: Mahkamah diberitahu oleh Joanna Yu, akaun milik Najib menerima dana berjumlahAS$369.99 juta melalui beberapa transaksi mulai 2011 hingga 10 Jan 2013.
Yu juga mengesahkan jumlah tersebut bersamaan dengan RM1.136 bilion.
Disoal balas Harvinderjit Singh, Yu berkata pada 11 Jan 2013 Jho Low memintanya memberikan jumlah wang yang dimasukkan ke akaun berakhir dengan nombor 694 itu.
11.15 pagi: Pihak pendakwaan membangkitkan kebimbangan mereka dengan cara soalan-soalan dikemukakan pembelaan terhadap Joanna Yu.
Kata V Sithambaram peguam bela Najib, Harvinderjit Singh, meminta bekas pegawai perhubungan awam Ambank itu mengesahkan transaksi akaun bekas perdana menteri itu - yang bernombor akhir 694 sebelum 2013 - dan menyoal kesesuaiannya.
"Mungkin sahabat saya boleh memaklumkan apakah relevannya. Jika tidak ia hanya membuang masa," Sithambaram.
Menjawab isu itu Harvinderjit berkata pihak pembelaan berjaya menemui siri transaksi membabitkan komunikasi Jho Low berkaitan dana yang dipindahkan ke akaun Najib.
Katanya pihak pembelaan berhajat mengemukakan isu itu kepada mahkamah agar ia dilihat secara menyeluruh dari detik awal akaun Najib dibuka sehingga penutupan semua akaunnya.
Kenyataan itu mendorong Sithambaram sekali lagi mempersoalkan kewajaran transaksi akaun Najib pada 2011 dengan kes yang sedang dibicarakan.
"Wang ini masuk dan digunakan sepenuhnya sebelum pendakwaan. Di mana relevannya?" kata Sithambaram.
Menurut Harvinderjit wang yang digunakan dalam transaksi sebelum disalurkan ke akaun 694 menjadi baki pada akaun tersebut.
Katanya wang dalam akaun baru Najib ada kaitan dengan tuduhan yang dililhat berasal dari sumber yang sama.
"Kalaupun (wang tersebut sudah) digunakan ia bukan isu. Isunya ialah sama ada dalam fikiran anak guam saya (wang tersebut) adalah derma, justeru ini adalah relevan, yang arif," katanya.
"Fikirannya, inilah arah yang akan kita tujui," kata Harvinderjit.
11 pagi: Sejumlah AS$100 juta dipindahkan ke akaun Najib Razak di Ambank, kata bekas Pengurus Perhubungan Awam Ambank, Joanna Yu.
Kata Yu, wang itu dimasukkan ke akaun Najib yang bernombor akhir 694 pada 2011.
Dalam keterangannya semasa disoal balas peguam Harvinderjit Singh, Yu mengesahkan wang itu dimasukkan dalam empat peringkat, masing-masing berjumlah AS$10 juta, AS$10 juta, AS$50juta dan AS$30 juta.
Yu juga mengesahkan berlaku perbualan - melalui aplikasi Messenger Blackberry - di antara dia dan Jho Low mengenai transaksi tersebut.
10.33 pagi: Selepas Ranjit Singh selesai memberi keterangan, saksi ke-54 Joanna Yu kembali masuk ke kandang saksi.
Yu dijadual disoal balas oleh peguam bela Najib, Harvinderjit Singh.
9.57 pagi: Ketua pembelaan Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah, memberitahu mahkamah, pihaknya akan mengemukakan permohonan untuk menyatakan keterangan daripada Ranjit Singh sebagai tidak relevan dalam perbicaraan ini.
Shafee menyatakan begitu sebelum seorang lagi peguam bela Najib, Harvinderjit Singh, menyoal balas saksi ke-55 itu.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram membantah dan akan mengemukakan hujah balas bagi menegaskan kesaksian lisan peguam itu adalah relevan.
9.48 pagi: Menurut Ranjit Singh, saman Najib terhadap Ling Liong Sik bukan berkaitan isu kemasukan dana sebanyak RM42 juta ke akaun peribadi bekas perdana menteri itu, sebaliknya turut melibatkan wang sebanyak AS$700 juta.
Peguam yang menjadi saksi ke-55 itu memberitahu timbalan pendakwa raya, V Sithambaram, bahawa keterangan Najib dibuat dalam afidavit balasannya kepada pembelaan Ling pada Feb 2016.
Ranjit - yang bertindak sebagai peguam Ling ketika itu - berkata isu berkenaan diselesaikan apabila kedua-dua pihak menarik balik saman dan tuntutan balas masing-masing dengan tiada kebebasan untuk memfailkan saman baru.
Menurut Ranjit, dalam jawapan ke atas tuntutan balas Ling, Najib mengakui dana sebanyak RM42 juta masuk ke akaunnya tetapi beliau mendakwa tidak tahu-menahu ia disalurkan melalui dua syarikat lain iaitu Gandingan Mentari dan Ihsan Perdana.
Kata Ranjit, kira-kira 2015 akhbar The Wall Street Journal dan portal Sarawak Report melaporkan dana RM42 juta masuk ke akaun Najib melalui dua perantara.
Peguam itu juga mendakwa Najib - dalam afidavitnya - memberitahu dana AS$700 juta yang masuk ke akaunnya dari luar negara adalah derma peribadi.
9.21 pagi: Saksi ke-55, Ranjit Singh, memberitahu mahkamah dia bertindak sebagai wakil Ling Liong Sik dalam saman Najib Razak ke atas bekas presiden MCA itu.
9.17 pagi: Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram memaklumkan kepada mahkamah, saksi ke-55 dan peguam, Ranjit Singh, akan memberi keterangan hari ini.
Justeru saksi ke-54, Joanna Yu, yang awalnya dijangka memberi keterangan akan mengambil giliran selepas ini.
9.07 pagi: Perbicaraan akan bermula tidak lama lagi apabila tertuduh, Najib Razak, memasuki mahkamah.
Turut kelihatan bersedia ialah ketua pasukan pembelaan, Muhammad Shafee Abdullah serta peguam lain.
Di pihak pendakwaan, Peguam Negara Tommy Thomas sudah hadir bersama timbalan pendakwa raya yang lain.
Di depan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, peguam bela Najib mungkin memperolehi sesuatu daripada penelitian mereka terhadap rekod perbualan di antara Yu dengan individu buruan polis, Jho Low, melalui peranti Blackberry.
Rekod perbualan itu diserahkan kepada pasukan pembelaan pada Khamis minggu lalu.
Yu yang juga saksi ke-54 pendakwaan memberi beberapa keterangan kritikal kepada mahkamah.
Antara lain dia mendakwa Jho Low - atau nama sebenarnya Low Taek Jho - meminta agar identiti Najib disorokkan dalam penyata akaun bekas perdana menteri itu di Ambank. Kejadian itu berlaku pada 2011.
Yu juga mendakwa diminta agar perbualan tersebut dipadamkan oleh Jho Low namun pegawai bank terbabit menolaknya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai